2011/12/31

DIARI - APA FUNGSINYA?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt.

Apa khabar iman? Sihat? Kalau sihat, alhamdulillah.

Apa itu diari? Apa yang ada pada diari? Anda punya diari? Apa yang anda tulis dalam diari? Banyaknya ‘diari’!

Di ambang tahun baru ini, saya nak berkongsi beberapa perkara menarik berkenaan fungsi dan kepentingan sebuah buku yang diberi nama ‘diari’.


 1.      Menulis catatan peristiwa/kenangan harian.

Diari sememangnya sinonim dengan catatan peristiwa/kenangan harian. Setiap peristiwa suka, duka, sedih, gembira, bosan dan sebagainya disimpan dalam sebuah diari. Pada setiap penghujung hari, si penulis akan mencatat segala yang berlaku seharian. Biasanya diari yang digunakan untuk tujuan ini berada di sisi katil si penulis atau mungkin juga di bawah bantal dan pennya juga lengkap disisipkan bersama diari tersebut. Fungsi ini tak perlu saya perjelaskan lagi kerana anda pasti pernah walaupun sekali mempunyai dan menulis diari.

2.      Mencatat appointment atau perkara penting.

Fungsi kedua ini layak digandingkan dengan golongan yang mempunyai jadual harian/mingguan yang agak padat. Seperti saya juga mungkin. Biasanya golongan ini terdiri daripada mereka yang berkerjaya dan berkeluarga. Cara ini amat membantu mereka dalam merancang masa dengan baik dan teratur. Diari jenis ini biasanya akan dibawa ke mana sahaja oleh si penulis.

3.      Buku nota.

Ada juga yang menjadikannya sebagai buku nota setelah merasakan bahawa ia tidak pernah digunakan atau banyak sekali mukasurat yang belum terisi. Seingat saya, saya belum pernah menggunakan cara ini kerana berasa kekok untuk menulis pada ruang yang diselangi dengan tarikh dan jam.

4.      Hadiah hari lahir.

Saya masih teringat kenangan sewaktu kecil dahulu. Diari boleh dikatakan antara hadiah hari lahir yang paling mahal tapi berguna untuk diberikan kepada kawan-kawan. Ada bermacam-macam warna dan corak yang boleh dipilih. Ada yang siap berkunci lagi. Mungkin anda juga boleh jadikannya sebagai hadiah hari lahir rakan anda yang lahir pada hujung tahun.


 5.      Hiasan.

Kalau beli diari tapi langsung tak pernah digunakan, inilah jalan yang terakhir iaitu menjadikannya sebagai hiasan di dalam almari di rumah anda. Tetapi, mungkin anda patut jadikannya sebagai buku nota atau jualkannya terus kepada kilang kitar semula.

Jika anda mempunyai idea yang lebih bernas lagi berguna, anda boleh kongsikan juga bersama saya.

Selamat malam dan selamat hari baru 2012. \(^_^/
(Tahun baru adalah perayaan Masihi) ;-)

2011/12/21

SOLAT TANPA TELEKUNG: Pelik Ke?


Golongan wanita Islam di Malaysia khususnya sering menjadikan telekung sebagai satu-satunya pakaian yang dibenarkan untuk solat bagi mereka. Lihat sahajalah di masjid-masjid, surau-surau, hatta di rumah sekalipun, wanita muslimah mesti perlu mengambil masa bagi memakai telekung terlebih dahulu sebelum mendirikan solat. Tidakkah ia menampakkan bahawa Islam itu terlalu rigid, susah, dan menyusahkan penganutnya?

Sebelum saya huraikan lebih lanjut tentang permasalahan ini, saya ingin mendefinasikan beberapa perkara penting berkenaan solat.

Solat adalah rukun Islam kedua dan ia merupakan tiang agama bagi orang Islam. Sudah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menunaikan solat sesuai dengan perintah Allah SWT di dalam al-Quran.


“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah 2:43)

Allah SWT telah mewajibkan solat 5 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat-umatnya yang telah akil baligh. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’, ayat 103:


“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisaa' 4:103)

Solat pula ada syarat-syaratnya. Syarat dalam solat terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau wajib dan syarat sah atau tunai.

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidak solat ke atas seseorang. Syarat-syarat wajib solat adalah seperti berikut:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Suci daripada haid dan nifas
  5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan – Solat tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak
  6. Sampai seruan agama Islam – Solat tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam

Syarat sah pula ialah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu solat atau dengan kata lain penerimaan sesuatu solat bergantung kepadanya. Syarat-syarat sah solat adalah seperti berikut:
  1. Suci daripada hadas kecil dan besar
  2. Suci tempat, pakaian, dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan
  3. Mengetahui tentang masuknya waktu solat sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya
  4. Menutup aurat
  5. Menghadap ke arah kiblat

Syarat sah solat yang keempat di atas ialah menutup aurat. Solat tidak akan sah jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ketika mendirikan solat.

Aurat lelaki ialah di antara pusat hingga lutut manakala aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Dari segi etikanya pula, pakaian mestilah tidak jarang dan tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk badan dan ia juga mestilah suci dan bersih daripada sebarang najis.

*****

Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk makan malam bersama keluarga di Kuala Perlis. Peluang yang jarang-jarang diperoleh ini digunakan sebaik mungkin.

Ketika kami sampai di sana, azan Maghrib pula berkumandang. Sementara menunggu makanan dihidangkan, saya dan kakak berjalan ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat.

Walaupun masjidnya tidaklah begitu besar, namun landskapnya sangat cantik. Ramai juga orang sehingga terpaksa bersesak-sesak untuk mengambil wuduk.

Ketika sampai di ruangan solat, ramai yang menunggu giliran telekung masjid untuk dipakai ketika solat. Saya yang melihat situasi itu mengambil keputusan untuk solat dengan pakaian saya sahaja tanpa menggunakan telekung bagi menjimatkan waktu. Saya berjalan dan mencari tempat yang sesuai untuk mendirikan solat.

Semasa solat, saya dapat merasakan ada beberapa orang yang memandang dengan pandangan yang agak pelik dengan perbuatan saya. Mana tidaknya, saya hanya memakai baju kurung berwarna merah hati berserta tudung labuh, tidak seperti orang lain yang memakai telekung. Ada juga beberapa orang kanak-kanak yang berbisik-bisik sesama mereka dan bertanyakan perkara ini kepada ibu mereka.

Saya berfikir sejenak. Mengapa mereka pelik melihat saya solat begini? Sedangkan saya sudah pun menutup aurat dengan sempurna. Saya menerimanya sebagai salah satu metodologi dakwah.

Minda masyarakat Melayu Islam di Malaysia khususnya telah ditekankan dengan ideologi-ideologi yang melampau sebegini. Sebenarnya solat juga sah walaupun dia tidak memakai telekung asalkan pakaiannya menutup aurat.

Sesiapa sahaja boleh mendirikan solat dengan pakaian yang sudah sedia ada dipakai asalkan ianya menutup aurat dengan sempurna dan suci daripada najis. Saya ingin mengutarakan satu persoalan di sini.

Kenapa anda tidak yakin untuk solat tanpa menggunakan telekung jika pakaian tersebut sudahpun menutup aurat anda dengan sempurna?

Ironinya mudah. Pakaian yang menutup aurat adalah pakaian yang boleh dibawa ketika solat. Jika tidak, bermakna anda masih tidak menutup aurat dengan sempurna. Kewajipan menutup aurat bukanlah hanya perlu dipatuhi ketika solat, bahkan sepanjang masa. Walaupun bersendirian, kita tetap perlu menjaga adab berpakaian kita dengan Allah SWT kerana Dia sentiasa melihat apa yang kita kerjakan.

Tak perlu pelik kalau ada yang solat tanpa telekung tapi silakanlah pelik kalau ketika solat sahaja tutup aurat tapi tidak di luar solat.

Tak guna kalau tutup aurat ketika solat sahaja. Keseluruhan solat hanya mengambil masa kurang sejam daripada 24 jam sehari semalam. Janganlah solat kita sia-sia sahaja kerana ia sedikitpun tidak mampu menandingi banyaknya dosa yang kita lakukan. Wallahua’alam.


“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-'Ankabuut 29:45)

2011/12/13

Mata Berkedip-kedip

Alhamdulillah saya diberi kesempatan sekali lagi oleh Allah SWT untuk mencoretkan ilham di blog ini. Begitu juga anda, masih diberi kesempatan lagi sekali untuk menatap dan membaca pos saya pada kali ini.

Tajuk ini mungkin menarik minat anda untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu yang pernah atau biasa kita alami. Fenomena mata berkedip-kedip ini dipercayai oleh kebanyakan orang mempunyai maksud dan petanda yang tersendiri.

Jika mata kanan berkedip, alamatnya ada sesuatu yang baik akan berlaku dan begitu juga sebaliknya jika mata kiri berkedip, alamatnya ada sesuatu yang buruk akan menimpa kita. Petanda ini pula bergantung kepada kekuatan dan kekerapan kerdipan mata. Jika berkali-kali bermakna sesuatu yang besar akan berlaku dan jika hanya beberapa kali bermakna konsekuensinya hanyalah kecil.

Aduh…macam-macam dakwaan dan pendapat yang dibuat. Petanda-petanda ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu. Namun pada hakikatnya, sehingga hari ini belum ada penemuan saintifik mahupun logik yang boleh mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut. Mungkin faktor kebetulan menyebabkan kepercayaan ini masih bertahan dalam jiwa masyarakat sehingga ke hari ini.

Kalau anda berhajat untuk mengetahui tentang maksud tersirat yang telah diperkenalkan oleh orang tua-tua zaman dahulu berkenaan hal ini, anda telah tersalah arah. Saya tidak akan menceritakan tentang mitos dan kepercayaan yang mungkin boleh dianggap sebagai karut itu di sini.

Sebenarnya, selalu juga orang menanyakan perkara ini kepada saya. Jawapan saya mudah.

“Apa maksud kalau mata kiri berkedip-kedip?” tanya seorang kenalan.

“Mungkin...Something bad will happen.”

Sunyi.

“Tapi tak jugak. Kadang-kadang tu takdak apa pun. Dan kalau ada pun tak semestinya benda yang besaq. Kadang-kadang benda kecik pun buleh jadi. Sakit perut ka. Takdak apa aih..”

Sunyi lagi.

“Doa ja lah. Doa kat Allah minta jauh dari benda-benda yang tak elok ni.”

Pandangan peribadi saya, mungkin ada juga kebaikannya Allah ciptakan mata kita ada masanya berkedip-kedip dan nenek moyang kita memperkenalkan kepercayaan terhadap petanda yang bakal berlaku.

Sebenarnya ia akan membuatkan diri kita kembali dekat dan bergantung harap kepada Allah SWT agar tidak diuji dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. Betul atau tidak? Bila mata kiri berkedip, kita biasanya akan bermuhasabah diri dan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah moga terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini.


Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)

Kalau anda masih rasa risau sangat, tidur je terus. Senang citer. Hehe..

Barang bagus tak semestinya baik untuk kita. Lihatlah sekeliling dengan minda yang positif dan optimis. Selamat malam. \(^_^)/

2011/12/07

KOD NEGERI DALAM IC ######-02-####

Assalamualaikum wbt.

Hmm. Dah lama juga saya tak menulis di sini. Bukan kerana kekeringan idea tapi disebabkan kemalasan yang terlampau menyebabkan blog ni kurang terjaga.

Petang tadi mak meminta saya untuk menyemak sekali lagi status permohonan kerja kakak saya melalui internet. Setelah beberapa hari barulah saya perasan bahawa nombor kod negeri yang terdapat dalam kad pengenalan kakak saya ialah 26, berbeza dengan kami sekeluarga yang berkod 02.

Saya tertanya-tanya. Di mana kakak saya lahir? Di luar negarakah? Kemungkinannya ada tapi terlalu tipis kerana setahu saya mak tak pernah ke luar negara lagi setakat ini.

Lalu, saya bertanya kepada beberapa orang rakan di Facebook memandangkan kredit telefon sudah tamat tempoh dan alang-alang saya sudah berada di hadapan laptop. Tapi sedihnya apabila tiada seorang pun yang tahu.

Saya terus melakukan langkah seterusnya dengan mencari sendiri di laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Alhamdulillah, akhirnya jumpa juga.

Jadi saya rasa elok juga kalau saya kongsikan dengan anda semua tentang apa yang saya dah dapat ni. Moga-moga segala kemusykilan anda akan terjawab dan sedikit sebanyak dapat membantu anda. Wassalam.

SENARAI KOD BAGI NEGERI KELAHIRAN
Johor
01, 21, 22, 23, 24


Kedah
02, 25, 26, 27


Kelantan
03, 28, 29


Melaka
04, 30


Negeri Sembilan
05, 31, 59


Pahang
06, 32, 33


Pulau Pinang
07, 34, 35


Perak
08, 36, 37, 38 , 39


Perlis
09, 40


Selangor
10, 41, 42, 43, 44


Terengganu
11, 45, 46


Sabah
12, 47, 48, 49


Sarawak
13, 50, 51, 52, 53


Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur)
14, 54, 55, 56, 57


Wilayah Persekutuan (Labuan)
15, 58


Wilayah Persekutuan (Putrajaya)
16


Negeri Tidak Diketahui
82



2011/11/26

HIJRAH : Satu Perubahan

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, hari ini kita masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menghirup udara tahun baru 1433H. 

Sebut tentang tahun baru, pasti ia tak dapat dipisahkan dengan ‘azam tahun baru’. Penting sangatkah berazam bila sampai tahun baru? Kenapa perlu tunggu tiba tahun baru, baru nak tanam azam?

Sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin menghuraikan terlebih dahulu tentang pengertian dan konsep hijrah.

Hijrah berasal daripada kata kerja bahasa Arab iaitu hajara (هجر) yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.

Dalam sirah Rasulullah saw, Baginda berserta para muslimin telah berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana pada waktu itu, kaum muslimin diperangi dan menerima tentangan yang sangat hebat daripada musyrikin Makkah dalam menyebarkan dakwah Islam.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

Dari Aisyah ra katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi saw pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar.
Berkata Abu Bakar: Nabi saw tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting.
Ketika Nabi saw masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar.
Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, ‘Aisyah dan Asma'. 
Sabda Nabi saw: Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?
Berkata Abu Bakar: Anda perlu teman, ya Rasulullah!
Sabda Baginda: Ya, kawan.
Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah). Ambillah seekor untuk anda.
Sabda Nabi: Kuambil seekor dengan harganya.

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab dalam masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17H. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah, kebangkitannya menjadi Rasul dan ada juga yang mencadangkan tahun kewafatan baginda.

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar memandangkan Hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaimana katanya: "Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah saw kerana hijrahnya itu adalah merupakan perbezaan antara yang benar dengan yang batal." Pendapat beliau ini disokong oleh Saidina Ali.

Namun begitu, hijrah seperti ini tidak lagi dituntut pada masa kini bersesuaian dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Jadi, tak perlukah kita berhijrah?

Sebenarnya hijrah mempunyai dua pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani.

Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya manakala hijrah kepada Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.

Maka, hijrah yang dituntut pada masa kini ialah:

1. Jihad fi sabilillah dengan niat yang ikhlas sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh an-Nasa’i:
Daripada Safwan bin Umayyah ra katanya, “Saya berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya mereka berkata bahawa syurga tidak akan dimasuki kecuali oleh orang yang berhijrah?” Baginda menjawab, “Tidak ada hijrah selepas Fathu Makkah, tetapi jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjihad, segeralah menyahutnya.”

2. Taubat nasuha dengan meninggalkan segala kejahatan dan dosa sebelum matahari terbit dari arah barat.
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan ra, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak terputus hijrah sehingga terputus (peluang) bertaubat, dan tidak terputus (peluang) bertaubat sehingga matahari muncul dari arah barat.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.”
(Riwayat Ahmad)

3. Memberi sedekah.
Daripada Abi Saeid al-Khudri ra katanya, seorang badwi telah datang menemui Nabi saw bertanya mengenai hijrah.
Baginda bersabda: Dengar ini! Sesungguhnya hijrah itu urusannya sangat sulit. Maka adakah kamu memiliki unta?
Badwi itu menjawab: Ya.
Nabi saw bertanya: Adakah kamu mengeluarkan zakatnya?
Dia menjawab: Ya.
Nabi saw bertanya lagi: Adakah kamu memberi sedekah sesuatu daripadanya seperti memerah susunya?
Dia menjawab: Ya.
Lalu baginda bersabda: Maka beramallah kamu dari seberang lautan. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak mengabaikan amalan kamu sedikit pun.

Ketika mensyarahkan Hadis ini, al-Hafidz Ibn Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan kelebihan mengeluarkan zakat unta, iaitu dengan mengeluarkan hak Allah pada unta itu menyamai kelebihan hijrah. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang menetap di negerinya dengan menunaikan zakat unta, akan memperoleh ganjaran hijrah dan menetap di Madinah.

Oleh itu, apalah salahnya jika kita hendak memasang azam sempena tahun baru ini biarpun pada hakikatnya tak perlu tunggu tiba tahun baru baru nak tanam azam. Sekurang-kurangnya, apa yang kita azamkan itu merupakan niat kita untuk tahun ini. Moga-moga usaha kita mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah swt.

Sumber:

2011/11/24

"Oh Mama. Saya Mahu Kahwin.."


Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya berpeluang sekali lagi untuk mengupdate blog saya yang tak seberapa ni. Mengambil kesempatan tak ada kerja sangat hari ni, saya ditemani bunyi bising orang tengah renovate bilik pejabat depan ni.

Baru-baru ni, kecoh bila saya poskan ni di laman Facebook. 


Sehinggakan ramai yang menyangka bahawa saya akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Termasuklah anak usrah saya di DQ.

 
Tidak kurang yang menegur saya dalam komen di bawah post di atas.



Ditambah dengan gambar profil yang menarik, mungkin itu menyebabkan ramai yang salah faham.



Hujung tahun sebegini, ramai pasangan yang memilih untuk menganjurkan majlis perkahwinan mereka. Tambah pula bila ada senior kami dari DQ yang hanya setahun lebih tua sudah pun diijabkabulkan dengan suaminya awal November lalu.

Maka timbullah isu nikah ketika masih bergelar mahasiswa, nikah khitbah(gantung), biro baitul muslim, borang baitul muslim...ada juga yang cuba menguji dengan menyatakan bahawa beliau akan bernikah pada bulan 12 nanti sedangkan belum tentu lagi tahunnya bila.

Persoalannya di sini, wajarkah golongan belia yang masih berstatus pelajar IPT mendirikan rumahtangga di usia ini?

Secara realiti, masyarakat umum memandang perkara ini sebagai sesuatu yang tidak baik dan bakal mendatangkan kesan yang negatif bukan sahaja kepada pasangan tersebut bahkan kepada semua orang yang berada di sekeliling mereka.

Jika pada zaman dahulu, gadis yang baru berusia 15 tahun kebanyakannya sudah pun bergelar isteri orang. Disebabkan himpitan kemiskinan dan biaya pendidikan yang tak mampu ditanggung oleh keluarga, jalan mudah ini diambil. Jadilah mereka suri rumah sepenuh masa. Tidak hairan juga jika beza usia antara mereka dan anak sulung mereka tidak sampai 20 tahun.

Kemajuan yang agak pesat membangun di negara bekas tanah jajahan British ini membuatkan hampir keseluruhan penduduk mendapat peluang pendidikan yang secukupnya. Bidang ini menjadi keutamaan bagi melahirkan modal insan yang berguna untuk agama, bangsa, dan negara.

Ada segelintir ibu bapa yang pantang mendengar mana-mana remaja/belia yang ingin berkahwin, terutama jika anak-anak mereka sendiri.

“Kalau hang menikah, hang nak bagi anak bini hang makan apa? Belajaq pun tak habih lagi dah mula menggatai nak menikah. Mengaji dulu sampai Master. Lepaih tu gheja besaq, gaji besaq, beli gheta besaq, ghumah semua...dah lengkap semua tu baghu la hang menikah kalau nak menikah sangat.”

Pernah suatu ketika saya terdengar satu ceramah di radio IKIM.fm berkenaan perkara ini lebih kurang setahun lepas. Ustaz penceramah itu menyatakan kesan yang akan timbul sekiranya anak-anak muda yang masih bergelar mahasiswa/i dibenarkan berkahwin di usia muda.

Antaranya, masalah kapel dalam kalangan remaja dapat dikurangkan. Kapel dalam konteks ini adalah hubungan kekasih yang bertentangan dengan syari’e, kerana kita bimbang akan timbulnya masalah-masalah lain seperti rogol, cabul, dera, seks bebas dan sebagainya antara mereka di samping kecenderungan pelajar untuk tidak fokus terhadap pelajaran di kampus.

Memang, tak semua kapel itu mendatangkan kesan negatif. Ada ja kapel yang kedua-duanya menempa kejayaan yang cemerlang dalam akademik hasil usaha gigih mereka berdua mengulangkaji palajaran dan berdiskusi bersama-sama.

Tetapi, apa yang diharamkan dalam Islam tetap menjadi haram selagi tidak diisytiharkan halal oleh para ‘ulama terkini.

Untuk menghalalkan hubungan ini, hanya pernikahan yang sah sahajalah jawapannya.

Sebenarnya, perkahwinan dapat mematangkan seseorang itu. Ini disebabkan oleh tanggungjawab yang perlu dipikul setelah bergelar suami isteri. Tanggungjawab sebagai suami seperti memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri dan anak-anak, tanggungjawab isteri untuk menyediakan keperluan hidup, memberi makan, mendidik anak-anak di rumah, dan tanggungjawab keduanya sebagai ibu bapa kepada anak-anak yang bakal dilahirkan.

Mengapa masyarakat perlu memandang negatif terhadap isu ini sedangkan ia ada juga kebaikannya?

Untuk mendirikan rumahtangga tidaklah semudah memetik jari. Pelbagai perkara harus difikirkan dan diambil kira secara serius, bukan hanya lafaz akad yang diperlukan.

Jika seseorang lelaki itu sudah cukup syarat-syarat untuk menjadi suami, tidak salah baginya untuk mendirikan rumahtangga. Begitu juga bagi si isteri.

Berbalik kepada persoalan saya tadi, wajarkah seseorang yang masih bergelar mahasiswa/i mendirikan rumahtangga di usia ini?

Kita harus melihat kepada kemampuan masing-masing. Adakah si lelaki mampu untuk menyara keluarganya apabila sudah bergelar suami nanti? Adakah si isteri juga mampu membahagikan masanya untuk keluarga dan pelajaran dengan baik? Adakah tindakan mereka akan memberi kesan yang tidak baik kepada orang-orang di sekeliling mereka?

Jawapannya ada pada diri masing-masing. Jika si lelaki sudah berkemampuan zahir dan batin, mampu menyara isteri dan anak-anak, mereka boleh membahagikan masa untuk keluarga dan pelajaran, tidak ada persoalan lagi yang boleh menghalang perkahwinan mereka.

Tetapi harus diingat, segala-galanya memerlukan restu ibu bapa masing-masing. Walaupun syarat-syarat sudah dilengkapi namun, kalau ibu bapa tidak restu juga tidak bermaknalah perkahwinan tersebut.

Jika ada di antara kita yang masih bergelar mahasiswa/i ini berkeinginan untuk berkahwin, mempunyai pilihan hidup masing-masing dan bersedia untuk menjadi suami isteri, rujuklah kepada kedua ibu bapa. Mohon restu dari mereka. Jika mereka tidak merestui, terpaksalah anda menangguhkan hajat masing-masing.

Kepada ibu bapa pula, janganlah terlalu mementingkan diri sendiri. Fikirkan kebahagiaan anak-anak anda juga. Tidak salah kalau tak suka, tapi biarlah mempunyai sebab yang kukuh.

Saya amat berbangga menjadi warga UIAM kerana pihak pentadbiran universiti membenarkan bahkan menggalakkan pelajarnya berkahwin walaupun masih belajar.

Kesimpulannya, perkahwinan di usia muda ada kesan positif dan negatifnya. Terpulang pada individu sama ada mahu melihatnya dari sudut yang mana. Kalau sudah bersedia, apa yang ditunggu lagi?

2011/11/16

BUKAN KU PINTA


             بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah agak lama saya tinggalkan dunia penulisan blog ini, alhamdulillah baru kali ini timbul idea untuk menulis. Jari-jemari juga sudah mula membeku untuk menaip, tidaklah seperti dulu lancar saja penulisan saya.

Syukur juga saya panjatkan kehadrat Allah SWT kerana sepanjang cuti semester ini saya diberi peluang sekali lagi untuk bekerja sambilan di pejabat guaman di tengah-tengah pusat bandaraya Alor Setar.

Pelbagai jenis ragam manusia yang saya jumpa, lihat dan kenal setiap hari. Kata pepatah Melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain. Tapi pada saya, peribahasa ni sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan hari ni kerana rambut orang zaman sekarang warnanya sudah pelbagai.

Seperti biasa, saya akan menaiki bas untuk pulang ke rumah memandangkan kelas memandu belum sempat untuk saya hadiri. Ketika sedang menunggu bas di stesyen bas Shahab Perdana petang semalam, mata saya tertumpu kepada sebuah keluarga kecil berisi dua ibu bapa dan sepasang anak.

 Keempat-empat mereka berjalan sambil beratur panjang ke belakang, sebelah tangan memegang bahu orang di hadapan, dan sebelah tangan lagi memegang tongkat. Ya, keempat-empat mereka melakukan perbuatan yang sama!
 
Rupa-rupanya mereka ini keluarga buta. Ke hulu ke hilir mencari arah untuk pulang ke rumah mereka di Kangar, Perlis.

Lantas saya terpana dan tersentuh. Ya Allah, mereka ini tak dapat melihat. Tapi masih bahagia dan kuat semangat!

Apalah sahaja yang mereka nampak melalui mata mereka.
Mungkin hanya bayangan kecantikan alam sekeliling.
Mungkin hanya bayangan betapa cantik dan damainya warna hijau, putih, dan biru itu.
Mungkin juga hanya bayangan bagaimana bulat, petak, segitiga...
Ya, mungkin hanya BAYANGAN!
Kerana apa yang mereka nampak hanya kelam, gelap gelita, lebih gelap dari gelapnya malam.

maaflah. gambar dari belakang ja

Saya bermuhasabah. Bagaimana mereka mampu berjalan ke Pekan Rabu dengan mata yang tak dapat melihat?? Pastinya, mereka yang tidak punya mata melihat segalanya dengan mata hati. Kita yang punya mata pula melihat segalanya dengan...mungkin mata nafsu.

Mengapa mata yang Allah beri pinjam, kita guna untuk melakukan maksiat?
Mengapa mata yang Allah beri pinjam, kita guna untuk melihat gambar-gambar lucah?
Mengapa mata yang Allah beri pinjam, kita guna untuk melihat perkara yang sia-sia?
Mengapa kita tidak gunakan mata kita sebaiknya?
Mengapa? Mengapa?

Saya tersentuh melihat keadaan keluarga ini. Benar, siapalah yang mahukan pasangan yang buta. Hanya yang buta juga sahajalah yang sanggup menerima pasangan yang cacat sedemikian. Dari situ, lahirlah zuriat yang juga mengalami kecacatan yang sama.

Bayangkan kita yang punya mata yang dapat melihat dengan jelas benda-benda di sekeliling kita. Bagaimana kita gunakan nikmat melihat ini? Adakah kita gunakan sebaiknya?

Kita melihat pelbagai benda setiap hari. Dalam sehari, adakah kita meluangkan masa walau hanya seminit untuk menatap kitab al-Quran, panduan hidup kita sebagai umat Islam? Adakah kita gunakan mata kita untuk melihat setiap huruf, baris, ayat, dan makna yang terkandung dalam al-Quran?

Bila dengar ada si buta yang hendak berumahtangga, kita kata, “Dok dalam kelambu pakat gheja dok meghaba hang aku ja lah cari bini tak jumpa. Hahaha..”

Bayangkan jika nikmat mata ditarik balik oleh Allah. Di saat itu, kita akan mula merasai gelapnya dunia yang tidak kekal lama ini.

Jom sahabat-sahabat, kita luangkan masa sejenak untuk menatap dan membaca al-Quran, selagi kita punya nikmat melihat dan nikmat hidup.

~Muhasabah diri sendiri~

2011/10/07

7 PERKARA GANJIL...

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

" Golongan yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.
" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

~a n i s

2011/10/05

SYAITAN PUN TAKUT...


SAMA-SAMA AMBIL IKTIBAR DARIPADA KISAH INI.

Ada seorang manusia yang bertemu dengan syaitan di waktu subuh. Entah bagaimana awalnya, akhirnya mereka berdua sepakat mengikat tali persahabatan. Ketika waktu subuh berakhir dan orang itu tidak mengerjakan solat, maka syaitan pun sambil tersenyum berkata, "Orang ini memang layak menjadi sahabatku..!"

Begitu juga ketika waktu zohor orang ini tidak mengerjakan solat, syaitan tersenyum lebar sambil berkata, " Rupanya inilah bakal sahabat sejatiku di akhirat nanti..!"

Ketika waktu asar hampir habis tetapi sahabatnya itu dilihatnya masih juga terlalu asyik dengan kegiatannya, Syaitan mulai terdiam......

Kemudian ketika datang waktunya maghrib, sahabatnya itu ternyata tidak solat juga, maka syaitan nampak mulai gelisah, senyumnya sudah berubah menjadi kecut. Dari wajahnya nampak bahawa ia seolah-olah sedang mengingat-ingat sesuatu.

Dan akhirnya ketika dilihat sahabatnya itu tidak juga mengerjakan solat Isya, maka syaitan itu sangat panik. Ia rupanya tidak lagi dapat menahan diri, dihampirinya sahabatnya itu sambil berkata dengan penuh ketakutan, "Wahai sahabat, aku terpaksa memutuskan persahabatan kita !"

Dengan kehairanan manusia ini bertanya, "Kenapa engkau ingkar janji bukankah baru tadi pagi kita berjanji akan menjadi sahabat?". "Aku takut !", jawab syaitan dengan suara gemetar. "Nenek moyangku saja yang dulu hanya sekali membangkang pada perintah-Nya, iaitu ketika menolak disuruh sujud pada Adam, telah dilaknat-Nya; apalagi engkau yang hari ini saja kusaksikan telah lima kali membangkang untuk bersujud pada-Nya. Tidak terbayangkan olehku bagaimana besarnya murka Allah kepadamu !", kata syaitan sambil bergegas pergi..

2011/10/04

Malaysia Kini

Salam. Yang ini saya dapat dari Facebook seorang rakan. Rasa rugi sangat kalau saya tak sharekan bersama anda semua. Harap-harap terbuka mata, akal, hati dan iman kita untuk membenci pihak yang cuba untuk menjatuhkan Islam. Inilah realiti yang berlaku di negara kita Malaysia. Cuba hayati dan fikirkan di mana anda? Adakah anda di pihak yang haq atau batil? Bagaimana pula keadaan Islam di Malaysia beberapa tahun akan datang? Renung-renungkan.
Tetaplah Al-Haq pasti menang :)
Pertubuhan Melayu Murtad telah diluluskan!!

persatuan Melayu Kristian telah SAH ditubuhkan di Malaysia !!
Injil telah dicetak & di edar...
IFC buat RoadshoW besar-besaran sokong kebebasan Beragama...
Bersedialah wahai saudara - saudari ku yang amat disayangi...
BERDOALAH SEMOGA UMAT ISLAM SELAMAT
tolong sebarkan kepada yang cintakan AGAMA ALLAH

(Agama Islam)....
gambar Lina Joy ( belakang sekali ) & Para peguamnya ISLAM DIHINA DI MALAYSIA
Baca sama-sama...

Dunia akhir zaman semakin menakutkan bila
berkait dgn soal akidah. Nak jadi apa dah ni??
Patut laa ada yang kata tak nak ada anak.
Bukan takut nak beranak, tapi takut
ada anak yang terpesong akidah.. baik tak de langsung!!

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria bangkit dalam isu ini dengan
membuat kenyataan akhbar bahwa umat Islam wajib isytihar perang
terhadap pertubuhan IFC itu dan minta 50 ahli politik Islam yang menurunkan
signature sebagai menyokong penubuhan IFC itu bertaubat kepada Allah swt
kerana dibimbangi aqidah mereka sudah terbatal [3]. Datuk Harussani juga
minta kepada semua penceramah, semua ustaz-ustaz yang mengajar
kuliah-kuliah dan semua khatib-khatib, supaya jangan lupa cakap benda ni
dalam kuliah-kuliah dan di atas mimbar-mimbar Jumaat bahwa pertubuhan
IFC ini adalah musuh Islam di M`sia.

Tuan-tuan tau depa minta apa kat PM?...
Depa send memorandum kepada PM meminta 15 perkara berhubung
dengan Islam supaya dimasukkan dalam perlembagaan Malaysia.
Antaranya:

1) Setiap anak yang baru dilahirkan di Malaysia jangan dikaitkan dengan
mana-mana agama sehinggalah anak itu berusia 18 tahun
- Tu dia tuan-tuan. Ini apa cerita ni? Maknanya, anak-anak kita langsung tidak boleh
dididikkan dengan cara Islam. Kita tak boleh bubuh nama Islam kat
anak-anak. Sampai umur 18 tahun, baru boleh duduk bincang di mahkamah,
tanya kat anak kita, 'Hang nak ikut ugama apa?'...Kalau dia kata nak
jadi hindu, maka jadi hindulah dia. Kita tak boleh nak buat apa sebab dah
digazetkan dalam Perlembagaan Negara.

2) Di dalam dokumen pengenalan mykad dan passport dihapuskan kolum
identiti agama - maknanya, perkataan 'Islam' yang ada kat mykad kita itu,depa
minta di'tiada'kan.

3) Mana-mana orang bukan Islam kalau nak kahwin dengan orang Islam, dia
tidak perlu masuk Islam.

4) Mana-mana orang Islam yang nak kahwin dengan orang bukan Islam,
mestilah dia tukar agama kepada bukan Islam.

5) Sebagaimana kerajaan Malaysia menyalurkan dana kepada masjid-masjid,
begitu juga kerajaan Malaysia mesti menyalurkan dana kepada semua rumah
ibadat orang bukan Islam.

6) Peraturan sekolah yang mengizinkan anak orang Islam menutup aurat
hendaklah dimansuhkan, kerana ia menghina agama bukan Islam.

7) Hapuskan mahkamah syariah kerana ia juga menghina agama-agama lain -
mahkamah syariah kalau takdak, habih la kita tuan-tuan. Walaupun la ni
bukannya perfect, tapi itulah satu-satunya mahkamah yang defence agama
kita. Kalau mahkamah syariah disingkirkan, masalah faraid pusaka, masalah
nikah kahwin, cerai talak apa semua tu macamana?...Kalau tak dak mahkamah
syariah, maknanya, perkahwinan tidak akan berjalan di atas akad nikah,
sebaliknya, perkahwinan akan dibuat secara berdaftar

8) Mana-mana orang bukan Islam yang masuk Islam, semua hartanya
dikembalikan kepada waris yang tidak beragama Islam.

9) Mana-mana pasangan yang bukan Islam, apabila masuk Islam, maka hak
penjagaan anak tidak boleh diberikan kepada mereka.

10) Sebagaimana program-program di radio dan tv yang menerangkan tentang
ajaran Islam dalam bahasa ibunda masing-masing, begitu juga
ajaran-ajaran lain daripada Islam juga perlu diberi ruang.

11) Sepertimana Quran, hendaklah kerajaan Malaysia turut mencetak bible
dalam bahasa Melayu untuk diedarkan di seluruh negara.

12) Apa istimewanya Islam sehingga ditabalkan sebagai agama rasmi di
Malaysia? ...lagi 3 ana tak ingat, anta boleh refer dalam Majalah Millenium
Muslim

Ini dia tuan-tuan, Islam diludah depan mata kita sendiri, so mana
sensitiviti kita terhadap agama kita sendiri?...Datuk Harussani tegur PM
dan 50 ahli politik Islam yang sokong pertubuhan tersebut supaya
dibatalkan pertubuhan itu. Tau 50 orang Islam tu kata apa?...Depa kata kat
Mufti Perak, 'Ni lah kalau dah terlalu tua jadi mufti, tak open minded
langsung!'...Datuk Harussani balas dalam majalah 'Millenium Muslim',
katanya, 'Di atas sikap open-minded rakyat Malaysia yang terlampau lebih,
maka inilah hadiahnya!'...
Ini dia kata-kata seorang ulama di Malaysia. Yang lainnya sunyi sepi termasuklah akhbar-akhbar,
macam ada benda dalam mulut sampai tak boleh nak buka!
-------------------------------------------------------------------------
Kata Al-Imam Ibn Kathir didalam tafsirnya: 'Sepertimana yang Tartar
berhukum dengan berteraskan sistem pemerintahan yang diambil daripada raja
mereka Genghiz Khan yang telah mencipta untuk mereka undang-undang Yasak
yang merupakan sebuah buku menghimpunkan hukum-hakam yang diambil
daripada syariat yang berbagai, iaitu Yahudi, Nasrani, Islam dan lain-lain.

Dalamnya juga banyak hukum-hakam yang diambil daripada fikiran dan hawa
nafsunya semata, lalu dijadikan undang-undang yang diikuti oleh anak
cucunya. Mereka mendahulukannya melebihi kitab Allah dan Sunnah
Rasulullah, sesiapa yang berbuat demkian maka dia adalah kafir dan wajib diperangi
sehingga dia kembali kepada hukum Allah dan Rasulnya dan tidak berhukum
selain daripadanya dalam perkara kecil ataupun besar (rujukan tafsir
al-Quran al-'Azim oleh al-Imam Ibn Kathir jld. 2, m.s. 70. Cetakan Beirut)

Allahua`ala `alam.
27 SEPTEMBER 2007

**SAPA YANG BACA ARTIKAL NIE 'DIWAJIBKAN' POST KEPADA SAUDARA MUSLIM
LAINNYA... KERANA INI SEBAHAGIAN DARI JIHAD... SUPAYA SAUDARA MUSLIM KITA DAPAT
TAHU TENTANG UNSUR-UNSUR MENGHANCURKAN ISLAM...
mohon sebarkan demi kbaikan islam bersama.. x perlu mohon =)
By: Fatin Adilah JihadUmayrah Full