2012/01/01

Sambutan Tahun Baru 2012 Terlalu Meriah


Bismillahirrahmanirrahim.

Malam ini saya nak menulis lagi. Bermakna ada isu menarik yang saya ingin ketengahkan bersama.

Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam tadi dimulakan dengan berita tentang kemalangan maut yang telah meragut 7 nyawa di Perak, sejam sebelum detik tahun baru 2012 bermula. Sedih dan pilu juga kerana mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia masih muda, berumur dalam lingkungan 17-22 tahun. Takdir Allah SWT telah menetapkan bahawa hidup mereka begitu singkat. Bagaimanalah pula dengan kita?

Saya tertarik kepada laporan berkenaan sambutan tahun baru di seluruh negara. Di Dataran Merdeka dan I-City Shah Alam, berpuluh ribu orang yang hadir bagi menyambut kedatangan tahun baru 2012. Pelbagai lapisan masyarakat yang hadir semalam. Ada yang datang bersama keluarga, kawan-kawan, mahupun pasangan kekasih. Masing-masing memenuhkan ruang di kedua-kedua tempat tersebut.

Bukan hanya rakyat biasa yang hadir, beberapa orang menteri turut menjayakan dan meraikan sambutan tersebut. 


Sebenarnya, apa yang ada pada sambutan begini sehinggakan begitu ramai yang hadir?

Perkara yang menjadi keutamaan bagi memenuhkan acara sementara menunggu ketibaan tahun baru semestinya adalah rangkaian lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi tempatan. Biasanya lagu ini adalah lagu yang melalaikan.

Saya begitu tertarik apabila melihat wajah barisan menteri juga turut sama bernyanyi, menari ke kiri dan ke kanan, dan bersuka ria dalam rakaman sambutan tersebut.

Tiba-tiba saya terfikir.

Beginikah sikap orang yang sedang dan mungkin akan terus memimpin masyarakat dan negara saya?

Apa yang mereka tahu adalah berhibur, berhibur, dan berhibur. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja perayaan atau sambutan yang mereka anjurkan.

Salahkah nak berhibur?

Hiburan memang tiada salahnya. Tetapi sekiranya ia sampai boleh melalaikan dan membazirkan wang sahaja, lebih baik ia ditinggalkan.

Ini kata saya:

Saya tidak mahu dipimpin oleh golongan yang hanya mementingkan keseronokan jasadiyah tetapi meminggirkan keseronokan ruhiyyah.

Saya tidak suka dipimpin oleh golongan yang hanya mementingkan pangkat dan harta kekayaan sehinggakan gejala rasuah mahupun seks bebas masih berleluasa.

Saya juga benci melihat negara saya semakin maju kerana kemajuan yang dikecapi hanyalah maju teknologi tetapi minda, pemikiran serta nilai Islamikanya masih di takuk lama malah semakin mundur.

Media sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam jiwa pemimpin mahupun sesiapa sahaja yang inginkan publisiti. Di mana ada media, di situ ada menteri. Di mana ada menteri, di situ ada media. Pendek kata, media dan menteri memang tak dapat dipisahkan.

Zizan Raja Lawak
Setahu saya, semalam di SACC Mall, Shah Alam ada satu sambutan tahun baru yang lain sikit daripada sambutan di I-City. Ada sesi bual bicara antara Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak sementara menanti detik 12 malam. Lebih kurang 7 ribu orang juga yang hadir. Saya rasa berita ini lebih hangat daripada berita di I-City. Tapi, seperti yang saya katakan di atas, media tak dapat dipisahkan daripada menteri. Mungkin kerana tiada menteri yang datang, tiada media yang sudi untuk membuat liputan.

Kalau anda rasa saya sedang berkempen sempena pilihanraya yang bakal diadakan tidak lama lagi, anda silap. Saya hanya menyatakan ketidakpuasan dan kesedihan hati terhadap pemimpin-pemimpin di negara saya.

Kalau anda rasa isi yang saya nak sampaikan kali ini berbelit-belit, anda bijak kerana saya sudah mengantuk dan sudah mahu tidur. Selamat malam. :)