2012/02/16

1-4-3 - CINTA


Cinta itu fitrah. Bila sebut tentang cinta, semua orang suka. Cinta adalah anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap manusia. Kerana cinta manusia dapat menggapai impian. Kerana cinta manusia hidup aman dan damai. Kerana cinta dunia akan tenang dan tenteram.

Ramai yang menganggap cinta hanya untuk kekasih, suami atau isteri. Sebenarnya, cinta punya banyak tafsiran. Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah, cinta terhadap ibu bapa, cinta kepada ilmu, cinta sesama manusia, dan bermacam lagi jenis percintaan.

Dalam bahasa Inggeris, cinta disebut sebagai love, sama juga ertinya dengan sayang. Begitu juga dalam bahasa Arab, cinta disebut sebagai الحب iaitu cinta, sayang, atau kasih. Cuma dalam bahasa Melayu, cinta selalu ditafsirkan sebagai cinta terhadap pasangan kekasih, berbeza dengan sayang.

Hari ini saya bukanlah nak mendefinisikan cinta secara literal. Namun, saya ingin berkongsi tentang beberapa kisah berkenaan cinta sesama manusia, lebih tepat untuk saya katakan sebagai cinta terhadap pasangan kekasih.

Baru-baru ini saya bersama 2 orang rakan telah berkunjung ke pusat pengajian saya tak lama dahulu iaitu di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Rasa rindu terhadap ketenangan dan kedamaian di sana di samping sahabat-sahabat yang masih berada di sana membuatkan hati saya membuak-buak dan begitu gembira. Kesempatan masa yang ada diisi sebaik mungkin dengan melihat keindahan tasik DQ dan berusrah bersama anak-anak usrah di sana.

Ketika hendak pulang semula ke UIA PJ, nasib kami agak baik kerana kebetulan pak cik prebet yang kami hubungi juga hendak ke Kuala Lumpur. Pada asalnya, kami cuma bercadang untuk pulang dengan menaiki KTM ke KL Sentral kerana bimbang bayaran tambang kereta yang kami perlu bayar terlalu tinggi.

 Namun setelah tawar-menawar dengan pak cik tersebut, beliau bersetuju untuk menerima RM 8.00 sahaja setiap orang. WOW! Bukan senang nak dapat harga murah macam ni! Bayangkan dari KKB ke KL dapat harga tambang kereta hanya sebanyak tu. Lebih murah dari tambang menaiki KTM!

Dalam perjalanan, pak cik singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak.  Kesempatan ini diambil oleh 2 orang rakan saya untuk membeli air di kiosk stesyen minyak tersebut. Sementara menunggu mereka berdua, saya bersembang dengan pak cik tersebut.

“Pak cik pegi KL nak buat ape?”

“Dating…”

“Dating???”

“Kenapa tak caye ke? Betul la pak cik nak gi jumpa kawan pak cik. Dah lama tak jumpa dia.”

“Sanggup ea pak cik pegi jauh2 macam ni?”

“Eh, mestilah. Nak jumpa orang yang kita sayang. Bukan senang nak jumpa. Setahun sekali je boleh jumpa.”

Hebat sekali penangan cinta. Kerana cinta, pak cik prebet ni sanggup memandu dari KKB ke KL. Ambil bayaran yang sangat rendah dari kami pula tu. Cinta memang me’rabun’kan mata. Segala benda boleh jadi tak kena. Sepanjang perjalanan, saya cuba bersembang dan berdakwah sedikit terhadap beliau.

Setelah sampai di KL Sentral dan menunaikan solat Maghrib dan Isyak, kami menaiki LRT ke Stesyen LRT Universiti. Seperti biasa, LRT memang menjadi pilihan pelancong luar dan golongan bukan Melayu. Disebabkan tiada tempat duduk yang sesuai, kami bertiga hanya berdiri. Mujurlah destinasi kami tak lah terlalu jauh.

Sedang saya berdiri, saya menghadap ke arah sepasang kekasih yang berdiri tidak jauh dari situ. Saya melihat kelakuan mereka terutama si lelaki agak pelik. Apa yang mereka nak buat sebenarnya?

‘Pandang kiri, pandang kanan, pandang depan, pandang belakang, line clear!’

‘Mmmmmmmuah!’

OH NO! Satu ciuman mulut ke mulut dihadiahkan oleh lelaki tersebut kepada teman wanitanya. Semuanya berlaku di depan mata saya. Nasib baik mereka tak melakukan aksi tersebut lama-lama. Malu, geli, semuanya bercampur baur. Nasib baik juga mereka bukan orang yang sebangsa dengan saya. Kalau tak, tak tahulah apa yang bakal terjadi kepada mereka.

Manusia suka mengekspresikan cinta mereka terhadap pasangan masing-masing. Tak salah, tapi biarlah kena dengan tempat. Janganlah bercium di khalayak ramai pula. Kalau pelancong sekalipun, hormatilah adat dan budaya rakyat Malaysia.

Setelah turun di Stesyen LRT Universiti, kami menaiki bas pula untuk sampai di UIA. Keadaan dalam bas sangat padat. Setelah beberapa hentian bas berhenti menurunkan penumpang, barulah ada ruang dan kesempatan untuk kami duduk.

Di depan kami ada 3 orang anak remaja. 2 orang perempuan duduk manakala seorang lelaki berdiri. Salah seorang perempuan tu memakai baju kemeja bercorak petak-petak, sama seperti si lelaki. Kami agak, ni mungkin kapel.

Mereka bertiga nampak sangat rapat. Dah macam adik-beradik kandung. Tapi tak tahulah diorang ni betul-betul adik-beradik ke tak. Saya dengan abang saya pun tak pernah berjanji nak pakai baju sama. Kalau ada pun, cuma kebetulan sahaja.

Setelah sampai, kami berjalan-jalan di gerai sempena RAFEST. Rupa-rupanya mereka ni pelajar UIA jugak. Patutlah macam pernah nampak je muka perempuan-perempuan tu. Mereka juga berjalan-jalan di gerai-gerai yang terdapat di situ. Menurut sahabat saya, kedua-dua orang perempuan tu kembar. Si lelaki pula kapel kepada perempuan yang berbaju petak tu. Mungkin ya, mungkin juga tidak. Wallahua’alam.

Kesimpulan yang saya ingin buat, kerana cinta manusia sanggup melakukan apa sahaja. Memandu dari KKB ke KL, bercium di khalayak ramai, memakai baju yang sama coraknya, menghabiskan wang demi pasangan yang dicintai, semuanya bisa dilakukan. Begitulah hebatnya cinta.

Tetapi itu hanya cinta kepada manusia. Bagaimana pula cinta kita terhadap Allah? Adakah kita sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar cinta Allah? Sejauh mana kesanggupan kita jika nak dibandingkan dengan kesanggupan kita terhadap cinta manusia?

Tak salah nak bercinta. Tetapi letaklah cinta kepada Allah dan Rasulullah melebihi cinta terhadap segala perkara lain. Itulah salah satu cara untuk mendapatkan kemanisan iman. Bila tiba waktu solat, solatlah. Bila perlu tutup aurat, tutuplah. Ikutlah segala perintah Allah dan jauhi laranganNya. Moga kita sama-sama mendapat taufik dan inayah dari Allah SWT untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Renung-renungkan. ^_^

Sabda Rasulullah S.A.W.:
"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan Iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam Api Neraka." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

2012/02/14

1-4-3 - Valentine's Day

Hari ni 14 Februari 2012. Tarikh ni sering dikaitkan dengan sejenis perayaan yang dinamakan Hari Kekasih atau Valentine’s Day. Mungkin ramai di kalangan kita yang masih belum mengetahui akan kisah sebenar dan sejarah di sebalik perayaan yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih saban tahun. Tak kurang yang tahu tapi buat-buat tak tahu, suka mengambil ringan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai ‘berat’.

Bersempena dengan hari ini, apa kata kalau kita baca, teliti, dan fahami cerita sebenar di sebalik perayaan ini. Artikel ini saya ambil dari sumber yang boleh dipercayai. Selamat membaca!

Pendahuluan

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai di kalangan masyarakat kita khususnya generasi muda, sekitar akhir tahun 1980-an kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama “Valentine’s Special”. Di samping itu, jika kita tinjau persiapan yang dilakukan oleh golongan yang meraikannya, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Namun, apa yang membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.


Sejarah Permulaan Valentine’s Day

Kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda pada hari ini, hanya mengikut apa sahaja yang datang dari barat tanpa mahu mempersoalkan sama ada Valentine’s Day wajar disambut ataupun tidak. Sebenarnya, Valentine’s Day mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian. Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Valentine’s Day :

i. Valentine’s Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

ii. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

iii. Pendapat ketiga mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Hujjah dan Dalil

Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;


Bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal ini melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat. Di dalam Islam, usaha untuk memupuk kasih sayang tidak semestinya dilakukan hanya pada hari tersebut sahaja kerana cinta merupakan satu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga seseorang menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Keputusan

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa :
“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Renung-renungkan dan selamat beramal! ^_^