Cinta itu fitrah. Bila sebut tentang cinta,
semua orang suka. Cinta adalah anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada
setiap manusia. Kerana cinta manusia dapat menggapai impian. Kerana cinta
manusia hidup aman dan damai. Kerana cinta dunia akan tenang dan tenteram.
Ramai yang menganggap cinta hanya untuk
kekasih, suami atau isteri. Sebenarnya, cinta punya banyak tafsiran. Cinta
kepada Allah, cinta kepada Rasulullah, cinta terhadap ibu bapa, cinta kepada
ilmu, cinta sesama manusia, dan bermacam lagi jenis percintaan.
Dalam bahasa Inggeris, cinta disebut sebagai love,
sama juga ertinya dengan sayang. Begitu juga dalam bahasa Arab, cinta disebut
sebagai الحب
iaitu cinta, sayang, atau kasih. Cuma dalam bahasa Melayu, cinta selalu
ditafsirkan sebagai cinta terhadap pasangan kekasih, berbeza dengan sayang.
Hari ini saya bukanlah nak mendefinisikan cinta
secara literal. Namun, saya ingin berkongsi tentang beberapa kisah berkenaan
cinta sesama manusia, lebih tepat untuk saya katakan sebagai cinta terhadap
pasangan kekasih.
Baru-baru ini saya bersama 2 orang rakan telah
berkunjung ke pusat pengajian saya tak lama dahulu iaitu di Darul Quran JAKIM,
Kuala Kubu Bharu, Selangor. Rasa rindu terhadap ketenangan dan kedamaian di
sana di samping sahabat-sahabat yang masih berada di sana membuatkan hati saya
membuak-buak dan begitu gembira. Kesempatan masa yang ada diisi sebaik mungkin
dengan melihat keindahan tasik DQ dan berusrah bersama anak-anak usrah di sana.
Ketika hendak pulang semula ke UIA PJ, nasib
kami agak baik kerana kebetulan pak cik prebet yang kami hubungi juga hendak ke
Kuala Lumpur. Pada asalnya, kami cuma bercadang untuk pulang dengan menaiki KTM
ke KL Sentral kerana bimbang bayaran tambang kereta yang kami perlu bayar
terlalu tinggi.
Namun setelah tawar-menawar dengan pak cik
tersebut, beliau bersetuju untuk menerima RM 8.00 sahaja setiap orang. WOW!
Bukan senang nak dapat harga murah macam ni! Bayangkan dari KKB ke KL dapat
harga tambang kereta hanya sebanyak tu. Lebih murah dari tambang menaiki KTM!
Dalam perjalanan, pak cik singgah di stesen
minyak untuk mengisi minyak. Kesempatan
ini diambil oleh 2 orang rakan saya untuk membeli air di kiosk stesyen minyak
tersebut. Sementara menunggu mereka berdua, saya bersembang dengan pak cik
tersebut.
“Dating…”
“Dating???”
“Kenapa tak caye ke? Betul la pak cik nak gi
jumpa kawan pak cik. Dah lama tak jumpa dia.”
“Sanggup ea pak cik pegi jauh2 macam ni?”
“Eh, mestilah. Nak jumpa orang yang kita
sayang. Bukan senang nak jumpa. Setahun sekali je boleh jumpa.”
Hebat sekali penangan cinta. Kerana cinta, pak
cik prebet ni sanggup memandu dari KKB ke KL. Ambil bayaran yang sangat rendah
dari kami pula tu. Cinta memang me’rabun’kan mata. Segala benda boleh jadi tak
kena. Sepanjang perjalanan, saya cuba bersembang dan berdakwah sedikit terhadap
beliau.
Setelah sampai di KL Sentral dan menunaikan
solat Maghrib dan Isyak, kami menaiki LRT ke Stesyen LRT Universiti. Seperti
biasa, LRT memang menjadi pilihan pelancong luar dan golongan bukan Melayu.
Disebabkan tiada tempat duduk yang sesuai, kami bertiga hanya berdiri. Mujurlah
destinasi kami tak lah terlalu jauh.
Sedang saya berdiri, saya menghadap ke arah
sepasang kekasih yang berdiri tidak jauh dari situ. Saya melihat kelakuan
mereka terutama si lelaki agak pelik. Apa yang mereka nak buat sebenarnya?
‘Pandang kiri, pandang kanan, pandang depan,
pandang belakang, line clear!’
‘Mmmmmmmuah!’
OH NO! Satu ciuman mulut ke mulut dihadiahkan
oleh lelaki tersebut kepada teman wanitanya. Semuanya berlaku di depan mata
saya. Nasib baik mereka tak melakukan aksi tersebut lama-lama. Malu, geli,
semuanya bercampur baur. Nasib baik juga mereka bukan orang yang sebangsa
dengan saya. Kalau tak, tak tahulah apa yang bakal terjadi kepada mereka.
Manusia suka mengekspresikan cinta mereka
terhadap pasangan masing-masing. Tak salah, tapi biarlah kena dengan tempat.
Janganlah bercium di khalayak ramai pula. Kalau pelancong sekalipun, hormatilah
adat dan budaya rakyat Malaysia.
Setelah turun di Stesyen LRT Universiti, kami
menaiki bas pula untuk sampai di UIA. Keadaan dalam bas sangat padat. Setelah
beberapa hentian bas berhenti menurunkan penumpang, barulah ada ruang dan
kesempatan untuk kami duduk.
Di depan kami ada 3 orang anak remaja. 2 orang
perempuan duduk manakala seorang lelaki berdiri. Salah seorang perempuan tu
memakai baju kemeja bercorak petak-petak, sama seperti si lelaki. Kami agak, ni
mungkin kapel.
Mereka bertiga nampak sangat rapat. Dah macam
adik-beradik kandung. Tapi tak tahulah diorang ni betul-betul adik-beradik ke
tak. Saya dengan abang saya pun tak pernah berjanji nak pakai baju sama. Kalau
ada pun, cuma kebetulan sahaja.
Setelah sampai, kami berjalan-jalan di gerai
sempena RAFEST. Rupa-rupanya mereka ni pelajar UIA jugak. Patutlah macam pernah
nampak je muka perempuan-perempuan tu. Mereka juga berjalan-jalan di
gerai-gerai yang terdapat di situ. Menurut sahabat saya, kedua-dua orang
perempuan tu kembar. Si lelaki pula kapel kepada perempuan yang berbaju petak
tu. Mungkin ya, mungkin juga tidak. Wallahua’alam.
Kesimpulan yang saya ingin buat, kerana cinta
manusia sanggup melakukan apa sahaja. Memandu dari KKB ke KL, bercium di
khalayak ramai, memakai baju yang sama coraknya, menghabiskan wang demi
pasangan yang dicintai, semuanya bisa dilakukan. Begitulah hebatnya cinta.
Tetapi itu hanya cinta kepada manusia.
Bagaimana pula cinta kita terhadap Allah? Adakah kita sanggup melakukan apa
sahaja demi mengejar cinta Allah? Sejauh mana kesanggupan kita jika nak
dibandingkan dengan kesanggupan kita terhadap cinta manusia?
Tak salah nak bercinta. Tetapi letaklah cinta
kepada Allah dan Rasulullah melebihi cinta terhadap segala perkara lain. Itulah
salah satu cara untuk mendapatkan kemanisan iman. Bila tiba waktu solat,
solatlah. Bila perlu tutup aurat, tutuplah. Ikutlah segala perintah Allah dan
jauhi laranganNya. Moga kita sama-sama mendapat taufik dan inayah dari Allah
SWT untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Renung-renungkan. ^_^
"Tiga
perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia
memperolehi kemanisan Iman (iaitu) Allah dan
Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai
seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada
kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam Api
Neraka." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
0 comments:
Post a Comment