2012/07/31

Berjalan, melihat, dan mentafsir

Alhamdulillah. Sehingga ke saat ini, kita masih diberi nafas dan nyawa pinjaman dari Allah SWT. Kita masih berada dalam bulan Ramadhan yang mulia. Hari ini 11 hari kita berpuasa, permulaan fasa keampunan Allah.

Ketika pulang dari satu kem yang memerlukan perjalanan pulang selama satu jam, saya duduk di bangku sambil menunggu ketibaan LRT. Di sebelah saya, seorang mak cik tukang sapu yang duduk berehat seketika kerana penat menyapu di bulan puasa.

“Mak cik duduk jap. Letih.. Biasalah bulan puasa ni. Selalu kalau hari biasa tak macam ni. Maklumlah kerja dari pagi sampai petang. ”

“Takpe mak cik. InsyaAllah pahala banyak. Tambah-tambah bulan puasa ni.”

“InsyaAllah amin. Nak ke mana ni?”

“PJ.”

“Dulu mak cik pun macam ni lah. Belajar kat sekolah pondok.”

“Pondok mana tu mak cik?”

“Dekat kampung.”

LRT yang menghala ke arah bertentangan tiba.

“Dulu mak cik pun pakai macam ni. Tapi sekarang ni tak bolehla sebab kerja. Handsock ni pun mak cik pakai sebab mak cik takut. Tengok orang lain biasa je sinting lengan baju yang dah pendek pun.”

“Betul lah tu mak cik.”

“Mak cik tak berani nak bukak handsock ni. Seluar ni pun sebab terpaksa.”

“Takpe mak cik. Asalkan tutup aurat dah cukup.”

“Anak-anak mak cik pun mak cik hantar semua ke sekolah agama.”

LRT yang dinanti-nanti tiba.

“Ok lah mak cik. Minta diri dulu.”

“Ok. Hati-hati.”

Kami bersalaman dan saya mencium tangannya. Sepanjang perjalanan, terngiang-ngiang dialog antara kami yang tak sampai 5 minit pun. Saya berfikir dan berfikir. Ya, ini bukan soal aurat lagi!

Saya yakin ramai yang sudah tahu tentang batas-batas aurat lelaki dan perempuan. Tetapi belum cukup ramai yang mahu melaksanakan apa yang telah diperintahkan. Ya, ini bukan soal tahu tetapi mahu!

Tetapi saya lebih suka melihat kepada konteks yang berbeza. Faktornya bukan pada kefahaman. Dalam situasi tadi sebagai contoh, mak cik tersebut faham tetapi beliau tidak mampu menghalang perkara tersebut daripada berlaku.

Bagaimana?

Peraturan pemakaian kemeja berlengan pendek ditetapkan oleh pihak tertinggi syarikat. Semua pekerja tidak kira lelaki mahupun perempuan wajib mematuhi peraturan tersebut. Perkara sebegini menjadi sedikit sukar terutama kepada mereka yang mengetahui konsep aurat dalam Islam.

Seharusnya, pihak pentadbiran syarikat tersebut memahami keperluan bagi seorang Muslim dan Muslimah lebih-lebih lagi di negara majoriti umat Islam ini. Namun, lain pula jadinya bila peraturan yang sudah ditetapkan bercanggah dengan etika pemakaian dalam Islam.

Bagi yang benar-benar memahami konsep aurat ini tidaklah sukar untuk mereka mencari jalan keluar dari masalah ini. Lain pula bagi mereka yang tidak memahami dengan betul, mereka tidak dapat lari dari bergelumang dengan dosa saban hari.

Tidakkah kita peka dengan masalah ini?

Sewaktu penjajah menjajah Tanah Melayu, mereka bukan hanya menjajah fizikal kita bahkan mental dan rohani. Bagaimana setelah sekian lama perjuangan memerdekakan Tanah Melayu yang mengorbankan ribuan nyawa umat Islam akhirnya berakhir hanya dengan menandatangani perjanjian?

Pernahkah anda terfikir?

Saya tidak mahu mengupas dengan lebih mendalam isu ini. Saya yakin masing-masing punya pandangan yang mungkin juga bercanggah dengan apa yang bermain di fikiran saya.

Serangan pemikiran yang dilakukan sejak dahulu sehingga ke hari ini oleh golongan yang menentang Islam sudah menampakkan hasil yang memuaskan. Lihat sahajalah di sana sini, pengaruh budaya hitam menular dalam kalangan anak-anak muda Islam.

Hiburan melampau. Batas pergaulan tak dijaga. Zina berleluasa. Macam-macam masalah sosial berlaku.

Dalam kisah di atas pula, kita dapat lihat bagaimana serangan tersebut terbawa-bawa sehingga ke penetapan peraturan pemakaian sebuah syarikat. Mereka menganggap pakaian yang dianjurkan oleh Islam begitu kolot dan tidak kena dengan skop kerja mereka.

Hasilnya, peraturan pemakaian kemeja berlengan pendek dan seluar panjang ditetapkan. Ianya tampak biasa tapi menjadi isu besar jika diselusuri dengan lebih mendalam. Ia membuktikan bahawa golongan yang menentang Islam sudah pun berjaya menawan hati masyarakat Islam.

Wahai saudara-saudara Muslimku. Sedarlah dari terus dibuai mimpi indah mainan tidur. Masih banyak yang perlu kita lakukan. Di negara-negara lain, umat Islam ditindas, diserang secara fizikal.

Ingatlah saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Thailand, Myanmar, Afghanistan, di seluruh pelusuk dunia. Jika tidak ditindas secara fizikal, mental pula yang dituju.

Bangkitlah wahai umat Islam! Sedarlah dari lamunanmu! Jangan biarkan umat Islam tewas! Jauhi ancaman-ancaman luar yang membinasakan!

Moga Islam akan mencapai kemenangan dan kegemilangan sehingga ke akhirnya.

11:20 AM
31/7/2012