Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah kita masih dipertemukan lagi pada kali ini. Baru semalam saya pulang dari menjalankan tugas sebagai salah seorang fasilitator program Adik-adikku Sayang bersempena Minggu Mahasiswa Islam anjuran Kelab PERKIM PAUIAM Petaling Jaya di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ), Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.
Program kali ini amat bermakna bagi saya kerana saya belum pernah menghadiri program seumpamanya sebelum ini. Kebanyakan program yang saya hadiri bercorak syadid dan keras tetapi program ini dipenuhkan dengan LDK bermodul dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan fizikal dan mental yang pastinya digemari oleh para peserta.
Lebih 100 orang peserta terdiri daripada pelajar perempuan tingkatan 1,2, dan 3 SAMTAJ. Pembahagian kumpulan dimulakan. Saya mendapat kumpulan yang berahlikan 12 orang kesemuanya dan bersama-sama saya adalah seorang sahabat fasilitator yang baru sahaja dikenali iaitu Syarihin.
Menguruskan adik-adik tidaklah semudah yang disangka kerana saya belum pernah menjadi fasilitator adik-adik seusia 13-15 tahun. Namun, pengalaman yang pernah saya peroleh melalui program-program lain sedikit sebanyak membantu agar saya tidak kekok menjalankan tanggungjawab saya terhadap mereka.
Apa yang paling mengharukan adalah komitmen yang diberikan oleh adik-adik sangatlah padu. Mereka cuba sedaya mungkin mengikuti program sekiranya tidak mempunyai kelas atau perkara-perkara lain. Setiap aktiviti mereka ikut. Dalam LDK mereka tidak lokek mengeluarkan idea walaupun ada di antara mereka yang baru sahaja mengenali antara satu sama lain.
Macam ada yang tertinggal je. Hehe |
ICE-BREAKING
Pada mulanya, adik-adik tingkatan 1 agak malu-malu untuk bercakap. Di saat inilah, fasilitator berperanan penting menjadikan mereka rapat dan tidak merasa malu berhadapan dengan kakak-kakak tingkatan 2 dan 3. “Tak kenal maka ta’aruf”. Masing-masing memperkenalkan nama, asal, dan tarikh lahir. Setelah itu, mereka perlu melakukan trademark ringkas yang disertakan dengan nama singkatan mereka.
Nama ‘Haura Mastura’ yang bermaksud ‘bidadari yang terpelihara’ dipilih sebagai nama kumpulan kami. Logo dilukis, trademark dan sorakan kumpulan direka. Pembentangan pun bermula. Alhamdulillah, masing-masing memberikan perhatian dan sorakan kumpulan kami mendapat tempat kedua sebagai sorakan terbaik.
KEESOKANNYA
Explorace Ice-Cream terpaksa ditangguhkan kerana hujan dan dimulakan sekitar pukul 10.30 pagi. Dalam aktiviti ini, adik-adik perlu hadir ke setiap checkpoint dan melakukan task yang diberikan oleh fasilitator. Setelah selesai, mereka akan memperoleh bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat aiskrim sendiri secara manual iaitu antaranya kain batik, garam, air manis, susu, dan ais batu.
Kumpulan kami yang pertama sampai di checkpoint terakhir. Proses membuat aiskrim dimulakan. Hahaha…tunggu punya tunggu aiskrim tak jadi-jadi pun! Akhirnya, semua ke Dewan Makan juga untuk mengisi perut di waktu tengahari. Kata Pengarah Program, ais batunya tidak cukup. Mungkin juga.
Pusing jangan tak pusing dik! (Sesi membuat aiskrim) |
SERANG!!!
Selepas Asar, aktiviti diteruskan dengan War Game. Setiap kumpulan perlu mempertahankan bendera dan ketua masing-masing daripada ditewaskan oleh musuh. Belon air dan bola dijadikan senjata utama. Taktik-taktik digunakan untuk menewaskan musuh. Akhirnya permainan tamat pada pukul 7 malam dengan keputusannya memihak kepada kumpulan lain.
MUHASABAH
Setelah penat bergelak ketawa dan bersuka ria di siang hari, adik-adik diberi pula makanan rohani pada malam terakhir. Ada yang menangis, ada yang tidak. Temanya…saya pun kurang pasti apa yang ingin dibawakan oleh penceramah. Yang pasti saya juga hampir menitiskan air mata dan ianya tamat sekitar pukul 1.30 pagi.
Majlis penutup dijadualkan pada pagi hari terakhir. Kami merangka persembahan khas buat adik-adik. Malu juga kerana kami perlu melakukan sorakan dan trademark setiap kumpulan. Macam-macam gaya kami tiru.
Sesi Pembentangan LDK |
Alhamdulillah, kumpulan Haura Mastura dipilih sebagai kumpulan terbaik sepanjang program ini berlangsung. Sedih pula nak berpisah dengan adik-adik ini walaupun hanya 2 hari 2 malam kami bersama. Kenangan bersama mereka amat manis dan saya pahatkan kenangan itu di sini. Moga-moga kita akan berjumpa lagi suatu hari nanti.
Akak doakan kejayaan adik-adik dalam PMR dan doakan yang terbaik untuk adik-adik dalam apa jua bidang yang adik-adik ceburi kelak. Keep in touch!
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment