Alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan pada kali ini. Diwajibkan kepada kita umat Islam untuk berpuasa penuh di bulan ini berdasarkan dalil naqli dari surah al-Baqarah ayat 183:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
Pada kali ini, suka untuk saya membicarakan tentang beberapa perkara penting yang berkaitan dengan puasa Ramadhan secara ringkas. Semoga Allah mepermudahkan anda untuk memahaminya dan sama-sama berusaha mengamalkan apa yang telah saya kongsikan.
DEFINISI
Bahasa : Menahan diri
Istilah : Menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu.
SYARAT WAJIB
1. Islam-tidak wajib ke atas orang kafir termasuk orang yang telah murtad.
2. Mukallaf-baligh dan berakal. Sekiranya hilang salah satu daripada kedua-duanya, tidak wajib baginya untuk berpuasa.
3. Tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa atau mengharuskannya berbuka-contohnya haid, nifas, pengsan atau gila sepanjang hari, sakit yang mendatangkan mudharat, musafir, tidak mampu berpuasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 184:
Maksudnya: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
SYARAT SAH
1. Islam-tidak sah bagi orang kafir atau murtad.
2. Berakal-ertinya mumaiyyiz(tahu membezakan baik dan buruk). Kanak-kanak yang sudah mumaiyyiz, puasanya adalah sah.
3. Tiada mempunyai keuzuran.
FARDHU/RUKUN PUASA
1. Niat di dalam hati
- Menurut Imam Syafi’e wajib niat pada tiap-tiap malam.
- Menurut Imam Maliki pula boleh niat untuk sebulan terus pada malam pertama Ramadhan.
- Dalam puasa wajib, mesti ada ta’yin (khaskan puasa apa) sama ada puasa Ramadhan, qadha’, nazar dsb.
- Sebagusnya niatlah pada malam hari setiap malam.
- Jika seseorang wanita niat mengikut Imam Syafi’e, kemudian datang haid pada tengah bulan, wajib atasnya untuk niat semula seperti biasa ketika dah boleh puasa.
- Jika seseorang wanita niat mengikut Imam Maliki, kemudian datang haid pada tengah bulan, tidak wajib atasnya untuk niat semula ketika dah boleh puasa.
2. Tidak makan dan minum atau memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja
- Jika tidak sengaja dimaafkan.
3. Tidak berjimak(bersetubuh) di siang hari
- Diizinkan bersetubuh pada malam hari.
4. Tidak muntah dengan sengaja.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
1. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang yang lazim(biasa) pada badan
- kalau buang air besar, benda itu keluar, kemudian masuk semula, batal puasa.
2. Memasukkan sesuatu ke dalam lubang di kepala.
- temasuklah mulut, hidung dan telinga.
- kalau hanya di luar tidak mengapa.
- boleh mengorek telinga atau hidung tetapi jangan terlalu dalam atau boleh mengenyangkan.
3. Memasukkan sesuatu ke dalam kemaluan dengan sengaja.
4. Muntah dengan sengaja.
5. Bersetubuh dengan sengaja pada kemaluan pada siang hari.
6. Keluar mani.
- kalau tak sengaja contohnya bermimpi tidak mengapa.
- kalau sengaja mengeluarkannya atau menghadirkan bayangan yang boleh menyebabkan air mani itu keluar, batal puasa.
7. Haid
8. Nifas
9. Gila
10. Murtad (keluar dari Islam).
PERKARA-PERKARA SUNAT
1. Menyegerakan berbuka.
- apabila yakin telah masuk waktu solat, tak semestinya tunggu azan dari masjid atau surau berhampiran.
- memulakan dengan kurma (dalam bilangan yang ganjil) atau apa-apa sahaja benda manis.
- seeloknya, berbuka dengan makan kurma atau minum air, solat Maghrib dahulu kemudian baru sambung makan makanan yang berat seperti nasi dsb.
2. Melambat-lambatkan sahur.
- pastikan sebelum masuk waktu Subuh.
3. Menghindarkan diri dari perkara lagha(sia-sia) dan melalaikan.
- antaranya mengumpat, mendengar umpatan, tidur berlebihan dsb.
HARI-HARI DIHARAMKAN BERPUASA
1. Dua hari raya.
2. Hari-hari tasyrik (11,12,13 Zulhijjah)
3. Hari syak (30 Syaaban)
Tambahan:
1. Jika seseorang itu meningal dunia sedangkan dia masih mempunyai hutang puasa, ahli keluarganya wajib membayar atas nama si mati dengan kadar 1 cupak sehari. Boleh juga sekiranya mana-mana ahli keluarganya menggantikan puasa itu dengan berpuasa dengan niat atas nama si mati.
2. Orang tua yang sudah tidak mampu untuk berpuasa dibenarkan untuk berbuka tetapi wajib membayar hutang puasanya dengan 1 cupak sehari.
3. Wanita hamil dan menyusukan anak. Kalau khuatir akan diri sendiri, mesti buka puasa dan wajib ganti puasa. Jika khuatir akan diri dan anaknya, mesti buka puasa tetapi kena ganti puasa dan bayar fidyah.
4. Orang yang sedang sakit atau musafir boleh berbuka dan wajib ganti.
5. Disunatkan untuk menambah pahala di bulan puasa dengan melakukan banyak amalan seperti membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, iktikaf di masjid dll.
6. Kalau ada yang belum habis ganti puasa, kemudian datang pula Ramadhan seterusnya, wajib atasnya untuk mengqadha’ hutang puasa itu dengan bilangan hari yang sama. Tetapi jika dia memilih untuk membayar fidyah, jumlah fidyah itu akan bertambah dari tahun ke tahun.
Setakat itu apa yang saya dapat dari satu majlis ilmu yang saya hadiri baru-baru ini di kampus. Sekiranya ada yang tersalah atau terkurang, harap dapat betulkan. Syukran. Selamat menjalani ibadah puasa. Wallahua’lam.