2011/07/22

Alhamdulillah

Assalamualaikum wbt.

          Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat bersua lagi pada kali ini. Alhamdulillah kita masih diberi peluang merasai nikmat oksigen dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang insan. Alhamdulillah kerana dengan izinNya juga saya dapat menghadirkan diri di Majlis Konvokesyen Darul Quran Kali Ke-20 pada 18 Jun baru-baru ini.

          Kemeriahan amat dirasai kerana saya dapat bertemu dengan sahabat-sahabat yang masih meneruskan perjuangan mereka di bumi barakah itu. Walaupun masa lebih banyak dihabiskan untuk mengisi perut dan menyiapkan kelengkapan yang diperlukan, ketenangan sewaktu berada di sana masih terasa sehingga kini.

          Di situlah saya bersama rakan-rakan yang lain berjuang bermati-matian demi menggapai impian bergelar seorang hafiz/hafizah. Pelbagai mehnah dan ujian tampil silih berganti. Hari demi hari, tanggal 3 Mac 2011 saya berjaya menamatkan muqarrar 30 juzuk al-Quran.

          Hati mana yang tidak gembira apabila kepayahan dan kegetiran bertukar menjadi kebahagiaan? Begitu juga sewaktu Majlis Konvokesyen berlangsung meriah. Tapi, sekuat mana tenaga diguna untuk bertahan, airmata akan tetap mengalir. Sebak ketika bacaan doa penutup oleh Sheikhul Azhar. Doanya biasa sahaja tapi jika kita mendalami dan memahamkan maksud bait-bait doa tersebut, pasti kita akan rasa begitu lemah dan kerdil di hadapan Allah SWT.

          Sebaik tamat majlis, saya dan sahabat-sahabat sempat mengambil gambar untuk kenang-kenangan. Nak tunggu konvokesyen seterusnya, mungkin mengambil masa 4-7 tahun lagi. Tapi kami cuma bersederhana. Pakaian pun biasa-biasa sahaja. Tak dapatlah nak menandingi kakak-kakak diploma.

          Persinggahan sementara di Darul Quran berakhir juga akhirnya pada malam tersebut. Saya dan sahabat-sahabat mengambil peluang terakhir bertemu insan-insan yang selalu dirindui sebelum kaki melangkah pergi. Kesempatan juga diambil untuk menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid DQ yang sentiasa tersergam indah.

          Dalam sujud terakhir, saya panjatkan doa kepada Allah SWT agar perpisahan ini hanyalah sementara. Airmata jatuh berguguran tanpa henti ketika diri mengenangkan bahawa saya harus pergi meninggalkan tempat ini bersama memori-memori indah yang sentiasa tersemat di hati.

          Lebih kurang jam 9.00 malam, bas yang kami naiki mula meninggalkan bumi DQ tercinta. Penat dan letih amat terasa sehinggakan ramai yang syahid sepanjang perjalanan. Buaian emosi ditinggalkan seketika dan bayangan tanggungjawab untuk menjaga kalam Allah mula menerjah. Terasa sukar tapi dengan bantuan dari Allah, insyaAllah kita pasti akan berjaya.

p/s: untuk melihat gambar-gambar sempena konvokesyen boleh di sini.

0 comments: