2011/07/27

Salah Siapa?

          Seorang ibu dan anak lelakinya yang masih kecil baru sahaja pulang dari pasar membeli barang-barang dapur untuk kegunaan harian. Antara barang yang dibeli termasuklah sebiji tembikai yang diperoleh dari seorang pak cik.


          Disebabkan terliur melihat buah yang besar dan bayangan isi merah berair yang pasti menyejuk dan menyegarkan, si anak meminta ibunya memotong buah tembikai tersebut untuk dimakan. Alangkah terperanjat si anak setelah melihat isi buah tembikai tidak seperti yang dibayangkan. Isinya tidak elok. Si anak mula merungut dan meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada si ibu.

Anak    : Ibu, kenapa buah ni tak elok? Ni mesti pak cik yang jual tadi dah tipu kita.
Ibu       : Adik, jangan cakap macam tu. Pak cik tu pun ambil buah-buah tu dari orang lain. Dia hanya menjual. Dia tak tahu buah ni dalamnya dah busuk. Nah, dari luar pun kita nampak buah ni elok je.
Anak    : Kalau macam tu, salah orang yang bagi buah ni pada pak cik tadi lah.
Ibu       : Tak. Ibu yakin dia pun tak tahu buah ni dah tak elok. Masakan dia nak perasan sebiji dalam beratus-ratus biji.
Anak    : Mungkin orang yang tanam buah ni tak jaga dengan elok kot.
Ibu       : Macam mana kalau dia dah jaga dengan elok? Dia letak baja, siram air tiap-tiap hari, letak racun perosak... Kan luaran buah ni cantik. Mestilah orang yang tanam buah ni dah jaga elok-elok.


Anak    : Habis, kalau bukan salah mereka, salah tanah lah yang tak subur dan matahari yang tak cukup cerah.
Ibu       : Tanah kan makhluk yang tak bernyawa. Tak mungkin dia berniat nak tipu kita. Sama juga matahari. Mereka cuma menjalankan tugas yang diberikan oleh Allah SWT. Mungkin Allah dah takdirkan buah ni tak elok dan kita adalah pembelinya.
Anak    : Jadi...
Ibu       : Jadi, kalau kita nak salahkan semua benda dan orang yang berkaitan, kita salah. Sebab ibu yakin semua tak nak buah ni jadi tak elok. Yang paling berkuasa tentunya Allah SWT. Kalau kita merungut dan marah disebabkan buah yang tak elok ni, bermakna kita marah pada yang berkuasa menjadikan buah ni jadi macam ni. Bermakna...
Anak    : Bermakna kita dah marah dan salahkan Allah ke ibu?

          Si ibu hanya tersenyum. Dia yakin anaknya sudah dapat memahami apa yang cuba disampaikannya.


*****

          Begitulah kita dalam kehidupan seharian. Sering kita merungut dan membebel akan perkara yang kita tak nak ianya berlaku. Kita mula menyalahkan takdir sehingga kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya menyalahkan Allah SWT yang menetapkan perkara itu berlaku. Apakah kita layak untuk menyalahkan Allah yang mencipta dan memberikan kita peluang untuk hidup? Wallahu’alam.

0 comments: