2011/08/21

Cegah Keji dan Mungkar!

Assalamualaikum wbt

Sudah agak lama saya tidak mencoretkan perasaan pada blog LIV ini. Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk merasai nikmat oksigen dan organ-organ yang membantu proses pernafasan kita. Kita juga masih diberi kesempatan masa untuk singgah sebentar membaca apa yang saya ingin perkatakan di sini. Yang pasti, hanya Allah sahajalah yang mampu memberikan kita nyawa dan roh untuk hidup di dunia ini. Allah jugalah yang mengatur pergerakan dan kerja yang dipikul oleh trillion sel dalam badan kita agar kita dapat meneruskan kehidupan sehingga ke saat ini.

Alhamdulillah. Pagi tadi saya sempat bangun untuk bersahur dan melakukan qiamullail ringkas di surau aras. Pada mulanya, saya agak liat dan malas untuk bangun. Tetapi apabila memikirkan ini adalah fasa terakhir bulan Ramadhan dan di antara 10 malam terakhir ini adanya lailatul qadr, saya bingkas bangun dan bersemangat untuk beribadat kepada Allah sekadar yang termampu.

Ketika kaki melangkah masuk ke dalam surau, terlihat beberapa orang sedang melakukan ibadah masing-masing. Ramai juga nampaknya. Baguslah kerana masing-masing memperbanyakkan amalan di penghujung Ramadhan ini. Tanpa berlengah, saya mengambil tempat dan memulakan qiamullail saya.

Setelah beberapa ketika, saya pulang ke bilik sementara menunggu azan Subuh. Ketika ini, minda saya ligat mencatat isi untuk dimuatkan dalam nukilan kali ini.

Bagusnya Qiamullail!

Antara hadis yang menceritakan tentang kelebihan qiamullail ini ialah:

“Daripada Abu Hurairah : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk Syurga dengan selamat” – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih.

Hadis yang bermartabat sahih di atas menunjukkan bahawa orang yang bangun pada malam hari untuk beribadat dijanjikan Syurga oleh Allah SWT. 

Cegah Keji dan Mungkar

“…Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar…” (al-Ankabut, 29:45)

Saya ingin menimbulkan satu isu di sini. Apa yang dimaksudkan dengan perbuatan yang keji dan mungkar itu termasuklah perbuatan-perbuatan yang akan mengundang dosa seperti menghampiri zina (bercouple), membuka aurat, mengumpat dan sebagainya. Apa yang menarik perhatian saya ialah ramai masyarakat kini hanya tahu solat. Menutup aurat hanya ketika hendak solat. Mana perginya pakaian yang menutup aurat selepas selesai mendirikan solat? Pakaian menjolok mata, ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan, kain yang dipakai jarang, tudung tidak mencukupi syarat menutupi bahagian dada.

Apalah gunanya bangun malam tetapi siangnya masih tidak menjaga aurat? Apalah gunanya bangun malam tetapi masih menghampiri zina? Apalah gunanya bangun malam tetapi siangnya masih bercakap-cakap tentang orang lain? Apalah gunanya juga bangun malam andai siangnya masih melakukan dosa?

Apa yang saya boleh ringkaskan, rugilah kita seandainya kita solat, bangun tahajud pada malam hari sedangkan pada waktu siangnya kita masih melakukan perbuatan mungkar atau yang boleh membawa kepada dosa. Bertambah rugi lagi kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai medan untuk mentarbiyah diri menjadi insan yang lebih bertaqwa di sisi Allah SWT.

Saya ingin mengajak saudara dan saudari yang sedang membaca post ini untuk sama-sama mengubah diri kita menjadi insan yang lebih baik. Gunakan peluang hari-hari terakhir bulan Ramadhan ini untuk menggandakan amalan dengan melakukan ibadah qiamullail, membaca al-Quran, bersedeqah, berzikir dan sebagainya. Jadikan bulan Ramadhan ini sebagai mekanisme dalam membantu meningkatkan jati diri ke arah yang lebih baik.

Sedikit penutup dari saya. Sebenarnya masih ramai yang belum faham kenapa umat Islam perlu menutup aurat, tidak boleh ber’couple’ dan sebagainya. Justeru, kitalah yang perlu memberikan kefahaman kepada mereka. Jangan sampai kita juga mendapat saham dosa atas apa yang mereka lakukan. Ramai sahaja pelajar UIA yang menukar pakaian dari jubah ke seluar jeans dan t-shirt ketat di luar kampus. Mereka ini juga boleh jadi dari kalangan teman sebilik atau sekelas kita sendiri. Sama-samalah kita berusaha menjadikan diri ‘enzyme’ yang dapat menukar ‘substrate’ kepada ‘product’.

Ringkas dari saya. Wassalam.

~MenCaRi LaiLaTuL QadR~

0 comments: