2011/08/29

:: Syawal Dah Kembali :: Ramadhan Akan Pergi ::


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

كيف حالكم جميعًا؟ Mudah-mudahan semuanya berada dalam keadaan yang baik di samping berada di bawah naungan rahmat Allah SWT.

Sedar tak sedar, hari ini sudah pun masuk 29 Ramadhan. Semakin kita meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan dan bulan tarbiyah ini, ia juga bermakna kita semakin menghampiri Syawal yang boleh juga dikatakan sebagai bulan permulaan untuk melihat sejauh mana keberkesanan perubahan yang kita lakukan sepanjang melalui bulan Ramadhan.

Saya tertarik kepada satu soalan yang dilontarkan oleh seorang pentazkirah ketika menghadiri perjumpaan grup kepemimpinan persatuan baru-baru ini.

“Kenapa Allah mensyariatkan kewajipan puasa di bulan Ramadhan? Kenapa bukan solat terawih ke, zakat ke. Kenapa?”

Masing-masing dalam diam cuba memikirkan jawapan bagi soalan tersebut. Lalu 2-3 orang dipanggil untuk memberikan pendapat masing-masing.

“Cuba kita fikirkan. Bayangkan kalau Allah mensyariatkan solat terawih sebagai ibadah wajib di bulan Ramadhan. Rugilah kita! Kerana kita cuma dapat pahala solat terawih sahaja. Tetapi, kalau kita puasa sepanjang hari di bulan Ramadhan, sebarang amalan yang kita buat hatta bekerja atau belajar sekalipun boleh dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala. Bahkan pahala tu dilipatgandakan lagi. Bukan hanya mendapat pahala berpuasa.”

Amboi letihnye raja rimba ni berpuasa...
Benarlah apa yang dikatakan oleh beliau. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.’

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa umat nabi terdahulu sebelum kita umat Nabi Muhammad SAW sudah pun mengamalkan ibadah puasa ini. Cuma mungkin caranya berlainan. Waktunya tidak sama. Kita hanya melakukan apa yang telah pun dilakukan oleh umat terdahulu. Ini bermakna kita semua umat mana-mana Rasul sekalipun adalah sama yakni diwajibkan oleh Allah SWT untuk berpuasa.

Marilah kita sama-sama meneruskan amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini di bulan-bulan yang berikutnya pula. Jika di bulan Ramadhan kita rajin berpuasa wajib, kita tambah pahala dengan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi. Kemudian, kita teruskan dengan berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis setiap minggu atau 13, 14, dan 15 haribulan setiap bulan, atau berpuasa sunat sempena hari-hari bersejarah dalam Islam yang disunatkan melakukan ibadah puasa.

Orang yang rajin berpuasa, di akhirat kelak, ketika dia masuk ke Syurga, salah satu pintu Syurga akan terbuka luas untuknya dan mengalu-alukan kedatangannya. Itulah Syurga yang diberi nama Rayyan, Syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang rajin berpuasa.

Akhir kata dari saya, selamat menghabiskan bulan Ramadhan kali ini. Moga-moga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Isilah saki baki Ramadhan ini dengan melakukan apa sahaja kebaikan. Berdoalah kerana insyaAllah doa di bulan Ramadhan akan dimakbulkan Allah SWT. Wallahua’lam.

‘Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.’ (Surah al-Baqarah, 2;186)

Selamat Hari Raya ‘Aidulfitri. Maaf Zahir dan Batin. \(^_^)/

0 comments: