بسم الله الرحمن الرحيم
Setelah agak lama saya tinggalkan dunia penulisan blog ini, alhamdulillah baru kali ini timbul idea untuk menulis. Jari-jemari juga sudah mula membeku untuk menaip, tidaklah seperti dulu lancar saja penulisan saya.
Syukur juga saya panjatkan kehadrat Allah SWT kerana sepanjang cuti semester ini saya diberi peluang sekali lagi untuk bekerja sambilan di pejabat guaman di tengah-tengah pusat bandaraya Alor Setar.
Pelbagai jenis ragam manusia yang saya jumpa, lihat dan kenal setiap hari. Kata pepatah Melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain. Tapi pada saya, peribahasa ni sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan hari ni kerana rambut orang zaman sekarang warnanya sudah pelbagai.
Seperti biasa, saya akan menaiki bas untuk pulang ke rumah memandangkan kelas memandu belum sempat untuk saya hadiri. Ketika sedang menunggu bas di stesyen bas Shahab Perdana petang semalam, mata saya tertumpu kepada sebuah keluarga kecil berisi dua ibu bapa dan sepasang anak.
Keempat-empat mereka berjalan sambil beratur panjang ke belakang, sebelah tangan memegang bahu orang di hadapan, dan sebelah tangan lagi memegang tongkat. Ya, keempat-empat mereka melakukan perbuatan yang sama!
Rupa-rupanya mereka ini keluarga buta. Ke hulu ke hilir mencari arah untuk pulang ke rumah mereka di Kangar, Perlis.
Lantas saya terpana dan tersentuh. Ya Allah, mereka ini tak dapat melihat. Tapi masih bahagia dan kuat semangat!
Apalah sahaja yang mereka nampak melalui mata mereka.
Mungkin hanya bayangan kecantikan alam sekeliling.
Mungkin hanya bayangan betapa cantik dan damainya warna hijau, putih, dan biru itu.
Mungkin juga hanya bayangan bagaimana bulat, petak, segitiga...
Ya, mungkin hanya BAYANGAN!
Kerana apa yang mereka nampak hanya kelam, gelap gelita, lebih gelap dari gelapnya malam.
Saya bermuhasabah. Bagaimana mereka mampu berjalan ke Pekan Rabu dengan mata yang tak dapat melihat?? Pastinya, mereka yang tidak punya mata melihat segalanya dengan mata hati. Kita yang punya mata pula melihat segalanya dengan...mungkin mata nafsu.
Mengapa mata yang Allah beri pinjam, kita guna untuk melakukan maksiat?
Mengapa mata yang Allah beri pinjam, kita guna untuk melihat gambar-gambar lucah?
Mengapa mata yang Allah beri pinjam, kita guna untuk melihat perkara yang sia-sia?
Mengapa kita tidak gunakan mata kita sebaiknya?
Mengapa? Mengapa?
Saya tersentuh melihat keadaan keluarga ini. Benar, siapalah yang mahukan pasangan yang buta. Hanya yang buta juga sahajalah yang sanggup menerima pasangan yang cacat sedemikian. Dari situ, lahirlah zuriat yang juga mengalami kecacatan yang sama.
Bayangkan kita yang punya mata yang dapat melihat dengan jelas benda-benda di sekeliling kita. Bagaimana kita gunakan nikmat melihat ini? Adakah kita gunakan sebaiknya?
Kita melihat pelbagai benda setiap hari. Dalam sehari, adakah kita meluangkan masa walau hanya seminit untuk menatap kitab al-Quran, panduan hidup kita sebagai umat Islam? Adakah kita gunakan mata kita untuk melihat setiap huruf, baris, ayat, dan makna yang terkandung dalam al-Quran?
Bila dengar ada si buta yang hendak berumahtangga, kita kata, “Dok dalam kelambu pakat gheja dok meghaba hang aku ja lah cari bini tak jumpa. Hahaha..”
Bayangkan jika nikmat mata ditarik balik oleh Allah. Di saat itu, kita akan mula merasai gelapnya dunia yang tidak kekal lama ini.
Jom sahabat-sahabat, kita luangkan masa sejenak untuk menatap dan membaca al-Quran, selagi kita punya nikmat melihat dan nikmat hidup.
~Muhasabah diri sendiri~
0 comments:
Post a Comment