Assalamualaikum wbt.
Hari ini saya berpeluang sekali lagi untuk mengupdate blog saya yang tak seberapa ni. Mengambil kesempatan tak ada kerja sangat hari ni, saya ditemani bunyi bising orang tengah renovate bilik pejabat depan ni.
Sehinggakan ramai yang menyangka bahawa saya akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Termasuklah anak usrah saya di DQ.
Tidak kurang yang menegur saya dalam komen di bawah post di atas.
Ditambah dengan gambar profil yang menarik, mungkin itu menyebabkan ramai yang salah faham.
Hujung tahun sebegini, ramai pasangan yang memilih untuk menganjurkan majlis perkahwinan mereka. Tambah pula bila ada senior kami dari DQ yang hanya setahun lebih tua sudah pun diijabkabulkan dengan suaminya awal November lalu.
Maka timbullah isu nikah ketika masih bergelar mahasiswa, nikah khitbah(gantung), biro baitul muslim, borang baitul muslim...ada juga yang cuba menguji dengan menyatakan bahawa beliau akan bernikah pada bulan 12 nanti sedangkan belum tentu lagi tahunnya bila.
Persoalannya di sini, wajarkah golongan belia yang masih berstatus pelajar IPT mendirikan rumahtangga di usia ini?
Secara realiti, masyarakat umum memandang perkara ini sebagai sesuatu yang tidak baik dan bakal mendatangkan kesan yang negatif bukan sahaja kepada pasangan tersebut bahkan kepada semua orang yang berada di sekeliling mereka.
Jika pada zaman dahulu, gadis yang baru berusia 15 tahun kebanyakannya sudah pun bergelar isteri orang. Disebabkan himpitan kemiskinan dan biaya pendidikan yang tak mampu ditanggung oleh keluarga, jalan mudah ini diambil. Jadilah mereka suri rumah sepenuh masa. Tidak hairan juga jika beza usia antara mereka dan anak sulung mereka tidak sampai 20 tahun.
Kemajuan yang agak pesat membangun di negara bekas tanah jajahan British ini membuatkan hampir keseluruhan penduduk mendapat peluang pendidikan yang secukupnya. Bidang ini menjadi keutamaan bagi melahirkan modal insan yang berguna untuk agama, bangsa, dan negara.
Ada segelintir ibu bapa yang pantang mendengar mana-mana remaja/belia yang ingin berkahwin, terutama jika anak-anak mereka sendiri.
“Kalau hang menikah, hang nak bagi anak bini hang makan apa? Belajaq pun tak habih lagi dah mula menggatai nak menikah. Mengaji dulu sampai Master. Lepaih tu gheja besaq, gaji besaq, beli gheta besaq, ghumah semua...dah lengkap semua tu baghu la hang menikah kalau nak menikah sangat.”
Pernah suatu ketika saya terdengar satu ceramah di radio IKIM.fm berkenaan perkara ini lebih kurang setahun lepas. Ustaz penceramah itu menyatakan kesan yang akan timbul sekiranya anak-anak muda yang masih bergelar mahasiswa/i dibenarkan berkahwin di usia muda.
Antaranya, masalah kapel dalam kalangan remaja dapat dikurangkan. Kapel dalam konteks ini adalah hubungan kekasih yang bertentangan dengan syari’e, kerana kita bimbang akan timbulnya masalah-masalah lain seperti rogol, cabul, dera, seks bebas dan sebagainya antara mereka di samping kecenderungan pelajar untuk tidak fokus terhadap pelajaran di kampus.
Memang, tak semua kapel itu mendatangkan kesan negatif. Ada ja kapel yang kedua-duanya menempa kejayaan yang cemerlang dalam akademik hasil usaha gigih mereka berdua mengulangkaji palajaran dan berdiskusi bersama-sama.
Tetapi, apa yang diharamkan dalam Islam tetap menjadi haram selagi tidak diisytiharkan halal oleh para ‘ulama terkini.
Untuk menghalalkan hubungan ini, hanya pernikahan yang sah sahajalah jawapannya.
Sebenarnya, perkahwinan dapat mematangkan seseorang itu. Ini disebabkan oleh tanggungjawab yang perlu dipikul setelah bergelar suami isteri. Tanggungjawab sebagai suami seperti memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri dan anak-anak, tanggungjawab isteri untuk menyediakan keperluan hidup, memberi makan, mendidik anak-anak di rumah, dan tanggungjawab keduanya sebagai ibu bapa kepada anak-anak yang bakal dilahirkan.
Mengapa masyarakat perlu memandang negatif terhadap isu ini sedangkan ia ada juga kebaikannya?
Untuk mendirikan rumahtangga tidaklah semudah memetik jari. Pelbagai perkara harus difikirkan dan diambil kira secara serius, bukan hanya lafaz akad yang diperlukan.
Jika seseorang lelaki itu sudah cukup syarat-syarat untuk menjadi suami, tidak salah baginya untuk mendirikan rumahtangga. Begitu juga bagi si isteri.
Berbalik kepada persoalan saya tadi, wajarkah seseorang yang masih bergelar mahasiswa/i mendirikan rumahtangga di usia ini?
Kita harus melihat kepada kemampuan masing-masing. Adakah si lelaki mampu untuk menyara keluarganya apabila sudah bergelar suami nanti? Adakah si isteri juga mampu membahagikan masanya untuk keluarga dan pelajaran dengan baik? Adakah tindakan mereka akan memberi kesan yang tidak baik kepada orang-orang di sekeliling mereka?
Jawapannya ada pada diri masing-masing. Jika si lelaki sudah berkemampuan zahir dan batin, mampu menyara isteri dan anak-anak, mereka boleh membahagikan masa untuk keluarga dan pelajaran, tidak ada persoalan lagi yang boleh menghalang perkahwinan mereka.
Tetapi harus diingat, segala-galanya memerlukan restu ibu bapa masing-masing. Walaupun syarat-syarat sudah dilengkapi namun, kalau ibu bapa tidak restu juga tidak bermaknalah perkahwinan tersebut.
Jika ada di antara kita yang masih bergelar mahasiswa/i ini berkeinginan untuk berkahwin, mempunyai pilihan hidup masing-masing dan bersedia untuk menjadi suami isteri, rujuklah kepada kedua ibu bapa. Mohon restu dari mereka. Jika mereka tidak merestui, terpaksalah anda menangguhkan hajat masing-masing.
Kepada ibu bapa pula, janganlah terlalu mementingkan diri sendiri. Fikirkan kebahagiaan anak-anak anda juga. Tidak salah kalau tak suka, tapi biarlah mempunyai sebab yang kukuh.
Saya amat berbangga menjadi warga UIAM kerana pihak pentadbiran universiti membenarkan bahkan menggalakkan pelajarnya berkahwin walaupun masih belajar.
Kesimpulannya, perkahwinan di usia muda ada kesan positif dan negatifnya. Terpulang pada individu sama ada mahu melihatnya dari sudut yang mana. Kalau sudah bersedia, apa yang ditunggu lagi?
3 comments:
cik kim. i agree. kih3. so cepat2 la kawen,hang dh mampu dah tu. cari calon hafiz jugak naa..ikot ckp mak.hehe.
but i still don't have the nominee. hehehe
ececeh. hg petik jaa jari ramai yg beratur nnti. haha.
Post a Comment