2011/11/26

HIJRAH : Satu Perubahan

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, hari ini kita masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menghirup udara tahun baru 1433H. 

Sebut tentang tahun baru, pasti ia tak dapat dipisahkan dengan ‘azam tahun baru’. Penting sangatkah berazam bila sampai tahun baru? Kenapa perlu tunggu tiba tahun baru, baru nak tanam azam?

Sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin menghuraikan terlebih dahulu tentang pengertian dan konsep hijrah.

Hijrah berasal daripada kata kerja bahasa Arab iaitu hajara (هجر) yang bermaksud meninggalkan, memutuskan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain.

Dalam sirah Rasulullah saw, Baginda berserta para muslimin telah berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana pada waktu itu, kaum muslimin diperangi dan menerima tentangan yang sangat hebat daripada musyrikin Makkah dalam menyebarkan dakwah Islam.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

Dari Aisyah ra katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi saw pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar.
Berkata Abu Bakar: Nabi saw tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting.
Ketika Nabi saw masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar.
Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, ‘Aisyah dan Asma'. 
Sabda Nabi saw: Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?
Berkata Abu Bakar: Anda perlu teman, ya Rasulullah!
Sabda Baginda: Ya, kawan.
Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah). Ambillah seekor untuk anda.
Sabda Nabi: Kuambil seekor dengan harganya.

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab dalam masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17H. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah, kebangkitannya menjadi Rasul dan ada juga yang mencadangkan tahun kewafatan baginda.

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar memandangkan Hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaimana katanya: "Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah saw kerana hijrahnya itu adalah merupakan perbezaan antara yang benar dengan yang batal." Pendapat beliau ini disokong oleh Saidina Ali.

Namun begitu, hijrah seperti ini tidak lagi dituntut pada masa kini bersesuaian dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah manyahutnya!”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Jadi, tak perlukah kita berhijrah?

Sebenarnya hijrah mempunyai dua pengertian: hijrah secara fizikal dari satu negeri ke negeri yang lain, dan hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya. Inilah hijrah yang hakiki yang menjadi tunjang kepada hijrah jasmani.

Kata Ibn al-Qayyim rahimahullah, hijrah kepada Allah ialah dengan meminta, mencintai, menghambakan diri, bertawakal, takut dan mengharap hanya kepada-Nya manakala hijrah kepada Rasul ialah dengan mengikuti syariat yang dibawanya dalam semua aspek, lahir dan batin.

Maka, hijrah yang dituntut pada masa kini ialah:

1. Jihad fi sabilillah dengan niat yang ikhlas sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh an-Nasa’i:
Daripada Safwan bin Umayyah ra katanya, “Saya berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya mereka berkata bahawa syurga tidak akan dimasuki kecuali oleh orang yang berhijrah?” Baginda menjawab, “Tidak ada hijrah selepas Fathu Makkah, tetapi jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjihad, segeralah menyahutnya.”

2. Taubat nasuha dengan meninggalkan segala kejahatan dan dosa sebelum matahari terbit dari arah barat.
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan ra, beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak terputus hijrah sehingga terputus (peluang) bertaubat, dan tidak terputus (peluang) bertaubat sehingga matahari muncul dari arah barat.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya hijrah ada dua unsur. Satu daripadanya ialah kamu meninggalkan kejahatan dan kedua kamu berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan tidak terputus hijrah selagi taubat diterima. Taubat akan terus diterima sehingga matahati terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dari barat, akan dicopkan ke atas setiap hati manusia apa yang telah ada padanya. Peluang beramal sudah tiada lagi.”
(Riwayat Ahmad)

3. Memberi sedekah.
Daripada Abi Saeid al-Khudri ra katanya, seorang badwi telah datang menemui Nabi saw bertanya mengenai hijrah.
Baginda bersabda: Dengar ini! Sesungguhnya hijrah itu urusannya sangat sulit. Maka adakah kamu memiliki unta?
Badwi itu menjawab: Ya.
Nabi saw bertanya: Adakah kamu mengeluarkan zakatnya?
Dia menjawab: Ya.
Nabi saw bertanya lagi: Adakah kamu memberi sedekah sesuatu daripadanya seperti memerah susunya?
Dia menjawab: Ya.
Lalu baginda bersabda: Maka beramallah kamu dari seberang lautan. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak mengabaikan amalan kamu sedikit pun.

Ketika mensyarahkan Hadis ini, al-Hafidz Ibn Hajar berkata, “Hadis ini menunjukkan kelebihan mengeluarkan zakat unta, iaitu dengan mengeluarkan hak Allah pada unta itu menyamai kelebihan hijrah. Hadis ini juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang menetap di negerinya dengan menunaikan zakat unta, akan memperoleh ganjaran hijrah dan menetap di Madinah.

Oleh itu, apalah salahnya jika kita hendak memasang azam sempena tahun baru ini biarpun pada hakikatnya tak perlu tunggu tiba tahun baru baru nak tanam azam. Sekurang-kurangnya, apa yang kita azamkan itu merupakan niat kita untuk tahun ini. Moga-moga usaha kita mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah swt.

Sumber:

0 comments: