2011/12/21

SOLAT TANPA TELEKUNG: Pelik Ke?


Golongan wanita Islam di Malaysia khususnya sering menjadikan telekung sebagai satu-satunya pakaian yang dibenarkan untuk solat bagi mereka. Lihat sahajalah di masjid-masjid, surau-surau, hatta di rumah sekalipun, wanita muslimah mesti perlu mengambil masa bagi memakai telekung terlebih dahulu sebelum mendirikan solat. Tidakkah ia menampakkan bahawa Islam itu terlalu rigid, susah, dan menyusahkan penganutnya?

Sebelum saya huraikan lebih lanjut tentang permasalahan ini, saya ingin mendefinasikan beberapa perkara penting berkenaan solat.

Solat adalah rukun Islam kedua dan ia merupakan tiang agama bagi orang Islam. Sudah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menunaikan solat sesuai dengan perintah Allah SWT di dalam al-Quran.


“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah 2:43)

Allah SWT telah mewajibkan solat 5 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat-umatnya yang telah akil baligh. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’, ayat 103:


“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisaa' 4:103)

Solat pula ada syarat-syaratnya. Syarat dalam solat terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau wajib dan syarat sah atau tunai.

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidak solat ke atas seseorang. Syarat-syarat wajib solat adalah seperti berikut:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Suci daripada haid dan nifas
  5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan – Solat tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak
  6. Sampai seruan agama Islam – Solat tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam

Syarat sah pula ialah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu solat atau dengan kata lain penerimaan sesuatu solat bergantung kepadanya. Syarat-syarat sah solat adalah seperti berikut:
  1. Suci daripada hadas kecil dan besar
  2. Suci tempat, pakaian, dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan
  3. Mengetahui tentang masuknya waktu solat sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya
  4. Menutup aurat
  5. Menghadap ke arah kiblat

Syarat sah solat yang keempat di atas ialah menutup aurat. Solat tidak akan sah jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ketika mendirikan solat.

Aurat lelaki ialah di antara pusat hingga lutut manakala aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Dari segi etikanya pula, pakaian mestilah tidak jarang dan tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk badan dan ia juga mestilah suci dan bersih daripada sebarang najis.

*****

Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk makan malam bersama keluarga di Kuala Perlis. Peluang yang jarang-jarang diperoleh ini digunakan sebaik mungkin.

Ketika kami sampai di sana, azan Maghrib pula berkumandang. Sementara menunggu makanan dihidangkan, saya dan kakak berjalan ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat.

Walaupun masjidnya tidaklah begitu besar, namun landskapnya sangat cantik. Ramai juga orang sehingga terpaksa bersesak-sesak untuk mengambil wuduk.

Ketika sampai di ruangan solat, ramai yang menunggu giliran telekung masjid untuk dipakai ketika solat. Saya yang melihat situasi itu mengambil keputusan untuk solat dengan pakaian saya sahaja tanpa menggunakan telekung bagi menjimatkan waktu. Saya berjalan dan mencari tempat yang sesuai untuk mendirikan solat.

Semasa solat, saya dapat merasakan ada beberapa orang yang memandang dengan pandangan yang agak pelik dengan perbuatan saya. Mana tidaknya, saya hanya memakai baju kurung berwarna merah hati berserta tudung labuh, tidak seperti orang lain yang memakai telekung. Ada juga beberapa orang kanak-kanak yang berbisik-bisik sesama mereka dan bertanyakan perkara ini kepada ibu mereka.

Saya berfikir sejenak. Mengapa mereka pelik melihat saya solat begini? Sedangkan saya sudah pun menutup aurat dengan sempurna. Saya menerimanya sebagai salah satu metodologi dakwah.

Minda masyarakat Melayu Islam di Malaysia khususnya telah ditekankan dengan ideologi-ideologi yang melampau sebegini. Sebenarnya solat juga sah walaupun dia tidak memakai telekung asalkan pakaiannya menutup aurat.

Sesiapa sahaja boleh mendirikan solat dengan pakaian yang sudah sedia ada dipakai asalkan ianya menutup aurat dengan sempurna dan suci daripada najis. Saya ingin mengutarakan satu persoalan di sini.

Kenapa anda tidak yakin untuk solat tanpa menggunakan telekung jika pakaian tersebut sudahpun menutup aurat anda dengan sempurna?

Ironinya mudah. Pakaian yang menutup aurat adalah pakaian yang boleh dibawa ketika solat. Jika tidak, bermakna anda masih tidak menutup aurat dengan sempurna. Kewajipan menutup aurat bukanlah hanya perlu dipatuhi ketika solat, bahkan sepanjang masa. Walaupun bersendirian, kita tetap perlu menjaga adab berpakaian kita dengan Allah SWT kerana Dia sentiasa melihat apa yang kita kerjakan.

Tak perlu pelik kalau ada yang solat tanpa telekung tapi silakanlah pelik kalau ketika solat sahaja tutup aurat tapi tidak di luar solat.

Tak guna kalau tutup aurat ketika solat sahaja. Keseluruhan solat hanya mengambil masa kurang sejam daripada 24 jam sehari semalam. Janganlah solat kita sia-sia sahaja kerana ia sedikitpun tidak mampu menandingi banyaknya dosa yang kita lakukan. Wallahua’alam.


“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-'Ankabuut 29:45)

2 comments:

ibrahsalami said...

nice! very nice. minda masyarakat perlu diubah. minda kita jugak. =D

Hakimah Ismail said...

semua pihak bertanggungjawab..bila semua dah menggembleng tenaga, insyaAllah matlamat dapat dicapai