2012/11/23

Biar Mimpi Sampai Ke Bintang


Dalam satu pertemuan bersama adik-adik Leadership Group (LG) MEDCY, sebuah kumpulan di bawah kendalian saya dan beberapa rakan yang lain, sebelum peperiksaan akhir semester satu yang lalu bermula, saya menyentuh tentang cita-cita.

Saya mengingatkan mereka bahawa cita-cita yang kita perlu bina bukan hanya sekadar cita-cita duniawi tetapi perlu juga ditanam cita-cita ukhrawi.

Hari ini, ramai pelajar yang belajar kerana ingin berjaya dalam bidang yang mereka idamkan. Mereka bercita-cita untuk berjaya dalam bidang masing-masing seterusnya kejayaan dalam akademik itu akan dibawa ke alam pekerjaan.

Di UIAM, bahkan di mana-mana pusat pengajian sekalipun, ramai yang belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan markah dan pointer yang tinggi. Tak kurang juga yang mengidam-idamkan Anugerah Dekan.

Tak salah jika ingin menggapai impian sebegitu. Ianya sangat bagus.

Tetapi ramai yang berhenti bercita-cita bila sudah berjaya dalam akademik ataupun kerjaya.

Jika hanya bercita-cita untuk mendapat pointer tinggi, kemudian menjadi seorang doktor kerana ingin hidup senang atau mungkin dapat membantu orang yang sakit, bagi saya tak cukup sekadar itu.

Sebagai seorang yang bergelar Muslim, kita juga sepatutnya mempunyai cita-cita yang dapat memberi saham akhirat kepada kita.

Jika kita ingin menjadi doktor, alasannya bukan hanya sekadar ingin membantu orang. Optimiskan pemikiran.

Sebagai contoh, di samping mengubati penyakit, kita juga ingin menyampaikan dakwah kepada pesakit kerana orang yang sakit lebih mudah menerima nasihat apatah lagi dari seorang doktor yang mereka sangat percayai.

Orang yang mahu berbisnes, ingin membuka perniagaan baru dan mengaut keuntungan kerana dari keuntungan tersebut, dia mahu mendermakannya kepada anak-anak yatim dan rakyat Islam di Palestin.

Tak kisahlah nak pasang apa-apa mimpi sekalipun, asalkan mimpi itu bisa menjadi cita-cita, dan cita-cita bukan hanya di dunia tetapi memberi saham untuk akhirat juga.

BIAR MIMPI SAMPAI KE BINTANG,
BIAR CECITA SAMPAI KE AKHIRAT.

0 comments: