2012/11/24

Buah Beka

Pernah dengar nama buah beka? Pernah tengok rupa dia macam mana? Pernah makan?

Haha. Mungkin ada di kalangan anda yang pernah mendengar, melihat, atau merasa buah beka.

Semalam saya ke rumah saudara di Pokok Sena, Kedah. Ketika kami hendak pulang, Ngah dan seorang sepupu saya memberikan kepada kami sebiji buah beka.

Tak pernah dengar pun sebelum ni ada buah bernama beka. Pelik juga namanya. Kata Ngah, buah ni pahit sedikit tapi sedap dibuat kerabu.

Saya pulang ke rumah dan meng’google’ berkenaan khasiat buah yang pelik ni. Hasilnya saya nak kongsi dengan anda.

Sebenarnya buah beka ni agak terkenal di negeri-negeri pantai timur, cuma mungkin di sebelah pantai barat ni agak janggal sedikit.

Beka yang mempunyai nama saintifik Oroxylum indicum adalah daripada keluarga tumbuhan bignoniaceae.

Ia mempunyai pokok yang besar, batangnya lurus manakala daunnya hanya merimbun di bahagian hujung dahan. Pokok ini turut mengeluarkan bunga berwarna keunguan. Buahnya pula berbentuk nipis, lebar dan memanjang seperti parang.

Buahnya yang muda berwarna hijau tetapi apabila masak ia bertukar kehitaman.

Rasanya seperti yang saya sebut di atas, agak pahit tetapi sedap dibuat kerabu. Kalau nak dijadikan sebagai ulam, buah beka yang muda selalunya dibakar bagi mengurangkan rasa pahitnya.

Buah beka juga baik untuk kesihatan. Antara khasiat yang terdapat dalam buah ini ialah ia boleh mencuci darah.

Bagi mereka yang baru lepas bersalin digalakkan untuk memakan buah ini kerana ia boleh membantu menambahkan susu ibu.

Rebusan daun beka pula jika diminum boleh mengurangkan demam atau sakit kepala di samping boleh dijadikan mandian lepas bersalin.

Akarnya pula boleh melegakan demam, sakit atau pening kepala dan selesema. Akar beka yang dicampur sedikit air perlu ditumbuk halus sebelum dipupuk di kepala.

Ha, dah tahu khasiat buah beka. Apa tunggu lagi? Esok insyaAllah mak ajak buat kerabu beka. Tak sabar nak rasa ni.

0 comments: