2012/11/07

Min


SEKARANG

“Min, awak join MLM?” Aku bertanya kepada Min sewaktu menaiki tangga ke tingkat atas bangunan sambil mataku meliar-liar melihat sekeliling.

Min tidak menjawab. Aku ternampak kelibat dua orang lelaki menghampiri kami dari luar bangunan.

Belum pun sempat menyambung kata-kata, air kosong sebotol dilempar pada Min. Min basah. Min kesakitan.

“Hoi!” Aku menjerkah Zack dan Paan. Tanpa diduga air teh ais di tangan yang aku beli di kedai mamak sebelum ke sini, aku lemparkan kembali pada mereka berdua.

“Jangan nak tunjuk samseng la kat sini!” Mereka berdua beredar dari situ. Baru puas hati aku. Orang-orang seperti mereka tak boleh dibiarkan saja. Silap-silap, melampau perangai mereka. Mereka ingat mereka mampu lakukan apa sahaja.

“Min, awak ok?” Tumpuanku kembali kepada Min. Aku membantunya ke tepi dan duduk di bangku. Min hanya menahan kesakitan.

“Diorang datang sebab MLM?” Min hanya mendiamkan diri dari tadi. Aku tahu, memang agak sukar baginya untuk menjelaskan perkara sebenar.

*****

SEBULAN YANG LALU

“Min, kau cakap benda ni bagus, lumayan, tolong orang Melayu konon. Tapi sekarang kau tengoklah sendiri. Tengok aku. Apa yang aku dapat? Kau tipu aku. Semua apa yang kau cakap dulu bohong, tak menjadi.” Min tunduk. Kepalanya sakit.

“Sekarang kau bagitahu aku, apa yang kau dah buat dengan duit yang aku laburkan dulu?” Zack mendesak. Jiwa dan fikirannya tidak tenang. Mana tidaknya, duit beribu yang dia kumpul bertahun-tahun hilang sekelip mata dek termakan janji-janji manis Jay.

“Saya tak tahu Zack. Lepas saya kenalkan Abang Jay pada awak, saya terus tak terlibat secara langsung lagi dengan benda ni. Saya tak pernah tahu yang Abang Jay tu penipu.”

“Ah! Kau pun sama ja. Tak payahla nak berlakon depan aku. Aku tahu kau pun bersubahat sekali dengan mamat penipu tu.” Amarah Zack membuak.

“Zack, tolonglah. Betul, saya tak tahu pasal hal ni.” Min merayu.

“Ah, sudahlah!” Zack meninggalkan Min di situ. Kelopak mata Min mula bergenang. Min menangis.

Setelah menyedari dia sudah lama berada di situ, Min pulang ke bilik.

*****

“Min! Saya ada berita baik nak kongsi dengan awak,” aku menegur Min sebaik Min memasuki bilik. Tangannya aku capai.

Min hanya tersenyum kecil, cuba menyembunyikan perasaannya. Matanya masih belum kering.

“Min, awak nangis?” aku terkejut melihat Min berkeadaan sedemikian. Aku merenung matanya.

Min tidak mampu lagi menahan air matanya dari menitis. Min mendakap erat aku dan menangis di bahuku. Aku hanya terdiam, tidak mengerti apa yang sedang berlaku pada Min.

Setelah melihat Min kembali tenang, aku mulakan pertanyaan.

“Awak gaduh dengan Zack lagi ke?” Min diam. Bagiku, diam tanda setuju.

“Zack ni tak habis-habis lagi ke nak kacau orang? Sejak buka sem sampai sekarang dia asyik buat perangai. Apa masalah dia ha?” Aku melepaskan kemarahanku. Geram aku bila hampir setiap hari melihat Min menangis disebabkan Zack.

*****

Tamat kelas Kimia, aku mendapatkan Zack.

“Zack. Kau ni kenapa ha? Suka sangat sakitkan hati Min,” aku menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Eh, kau tanya la dia sendiri,” Zack malas melayan soalanku.

“Aku dah tanya dia berkali-kali. Sekali pun dia tak pernah bagitahu aku. Sekarang kau dah ada depan mata aku, kau cakap kat aku apa punca semua ni?” Zack diam seketika. Berfikir sama ada dia patut menjawab soalanku atau tidak.

“MLM,” Zack terus beredar dari situ setelah memberikan jawapan sepatah sedangkan aku sendiri belum memahami situasi ini sepenuhnya.

“MLM?” Aku terdiam. Otak ligat mencari jalan keluar.

*****

SEKARANG

“Min, cuba awak ceritakan perkara yang sebenarnya pada saya,” aku kembali ke topik asal yang membuatkan Zack tidak puas hati kepada Min. Lama juga Min berdiam. Aku tahu dia sedang mencari kekuatan untuk meluahkan masalah ini padaku.

“Sebenarnya…” Min menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung kata-kata.

“Saya pernah kenalkan Zack dengan Abang Jay, salah seorang orang kuat MLM yang saya sertai dulu. Lepas dari perkenalan tu, saya terus tak terlibat secara aktif dengan program ni sebab waktu tu cuti sem, saya pulang ke Kedah.”

Aku mula berminat mendengar kisah Min.

“Buka je sem, saya dapat tahu Zack ada masalah dengan Abang Jay. Zack kata dia ditipu.”

“Dengan Abang Jay?”

“Ya. Abang Jay pernah berjanji macam-macam pada Zack. Zack termakan kata-kata manis Abang Jay. Dia laburkan wang beribu ringgit sebab ikut cakap Abang Jay.”

“Jadi sebenarnya Abang Jay memang betul penipu?”

“Itu yang saya belum pasti sebenarnya. Saya cuba hubungi dia tapi sampai sekarang belum ada khabar berita. Saya sendiri tak pasti Abang Jay di mana.”

“Awak ada cuba tanya pada pihak MLM?”

“Dah. Tapi diorang sendiri pun tak tahu di mana dia sekarang,” Min merenung jauh. Aku tahu fikirannya masih serabut.

“Jadi bermakna awak tak bersalah dalam hal ni Min.”

“Entahlah. Saya sendiri tak faham. Salah saya juga sebab kenalkan Abang Jay pada Zack.”

“Sekarang ni apa yang awak nak buat?”

“Saya buntu. Tak tahu nak buat macam mana. Saya cuba bagitahu perkara sebenar pada Zack tapi dia tak nak dengar.”

Aku diam, berfikir sedalam-dalamnya mencari solusi bagi permasalahan ini. Aku tahu Zack salah faham terhadap Min.

*****

“Sekarang ni korang berdua dah ada kat sini. Aku nak korang selesaikan masalah ni sekarang,” aku memandang wajah Zack dan Min satu persatu. Sukar ditafsir.

“Zack, saya minta maaf kalau awak rasa saya yang bersalah dalam hal ni. Mungkin benar semuanya berpunca dari saya sebab kenalkan awak dengan Abang Jay tapi…” Belum sempat Min menghabiskan kata-kata, Zack mencelah.

“Ha, baru nak sedar! Memang semua ni salah kau. Disebabkan kau aku rugi beribu ringgit.” Suasana kembali gamat.

“Hei Zack. Boleh tak kau tolong dengar dulu penjelasan Min. Tolonglah bagi kerjasama kalau nak benda ni selesai,” aku cuba mengawal emosi Zack. Zack diam. Bagiku perangainya tidak matang.

“Sebelum ni, saya tak pernah tahu yang Abang Jay tu penipu. Sepanjang cuti sem, saya tak mengikuti langsung perkembangan MLM sebab saya di Kedah. Saya cuma kenal Abang Jay di program. Saya pun ingat dia jujur tapi tak sangka jadi macam ni.”

“Bila buka sem, saya dapat tahu awak kena tipu dengan dia. Itu pun saya dengar dari Paan. Lepas tu awak serang saya dengan soalan bertubi-tubi.”

“Habis tu kenapa kau tak jawab soalan aku?” Zack mencelah.

“Saya sendiri bingung dengan keadaan waktu tu. Lama-kelamaan baru saya tahu cerita sebenar. Saya cuba hubungi Abang Jay tapi tak dapat. Saya cari dia di program dan pusat, mereka cakap dia dah lama hilangkan diri.” Zack kembali tenang.

“Saya minta maaf, Zack. Sebab saya awak jadi macam ni.” Min tunduk. Zack pula diam.

“Habis tu si Jay tu macam mana? Takkan nak biarkan je?” Zack kembali bertanya. Nadanya kurang sabar.

“Jangan risaulah Zack. Kita masih ada jalan. Lapor ja pada pihak berkuasa. Biar diorang yang uruskan.” Kali ini giliran aku pula mencelah.

“Lepas ni korang dua tolonglah berbaik semula. Aku penat tau tengok korang bergaduh tiap-tiap hari.” Aku cuba memujuk.

“Aku minta maaf Min.” Zack memandang wajah Min.

“Saya juga minta maaf Zack.” Min dan Zack saling memandang.

“Sahabat?”

“Sahabat.” Min dan Zack tersenyum.

“Dah, dah cukup. Ni lah korang. Bila dah berbaik semula aku pula yang korang lupa.” Aku buat-buat merajuk. Mereka berdua hanya tersenyum melihat telatahku.

“Jom minum. Min belanja,” aku mencadangkan. Perut pun sudah mula berirama.

“Err…ok.” Min terkejut tapi tetap menerima cadanganku dengan seukir senyuman.

TAMAT

0 comments: