2013/02/16

KENAPA mesti ada TAKLIFAT?

Bismillahirrahmanirrahim.

Selalunya dalam mana-mana program tamrin, pasti ada taklifat-taklifat yang diberikan oleh unit Disiplin & Ibadah. Pernahkah antum terfikir mengapa perlu ada taklifat? Adakah ia hanya sebagai pelengkap sesebuah program tamrin? Atau mungkin untuk memenuhkan tentative yang kosong?

Sebenarnya taklifat yang diberikan ada ibrahnya. Suka untuk ana share sesuatu yang ana dapat dari sebuah kitab yang diberi judul Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah karangan Sheikh Dr. Fathi Yakan. Dalam bahagian ketiga ada ditekankan tentang bekalan para dai’e.

Sebagai dai’e, kita tidak lari dari menghadapi jalan dakwah yang panjang dan berliku. Dalam menghadapi cabaran ini, kita perlu kepada suatu bekalan yang akan menentukan keteguhan pendirian kita dalam perjuangan ini. Bekalan yang dimaksudkan ialah pertolongan dan bimbingan dari Allah SWT.

Jika kita singkap kembali sirah Rasulullah SAW, kita dapati baginda yang merupakan seorang nabi yang ma’sum masih menjaga hubungan erat dengan Allah SWT. Allah membimbing baginda dengan pendidikan yang terbaik antaranya melalui peristiwa di Gua Hira’.

Dengan tarbiyyah sebegitu, baginda memperoleh ciri dan sifat yang membolehkannya memikul amanah menyampaikan risalah dengan ciri sebaik-baik umat untuk diikuti oleh manusia seluruhnya.

Sebagai dai’e, kita juga memerlukan bekalan yang dimaksudkan tadi. Ana suka untuk membawa satu hadis Rasulullah berkenaan perkara ini. Baginda bersabda kepada Abi Zar RA dalam nada pertanyaan.

لو أردت سفرا أعددتله عدة؟ قال: نعم قال: فكيف بسفر طريق القيامة؟ ألا أنبئك بما ينفعك ذلك اليوم؟ قال: بلى بأبي أنت وأمي يا رسول الله، قال: صم يوما شديد الحر ليوم النشور وصل ركعتين في ظلمة الليل لوحشة القبور وحج حجة لعظائم العمور وتصدق بصدقة على مسكين أو كلمة حق تقولها أو كلمة شر تسكت عنها.

“Sekiranya engkau akan mengembara, apakah engkau akan membuat persiapan?” Jawab Abu Zar: “Ya!” Sabdanya: “Bagaimana pula dengan pengembaraan menuju hari qiamat? Mahukah engkau mendengar sekiranya aku memberitahu kepadamu tentang bekalan yang berguna untuk menghadapi hari tersebut?” Jawab Abu Zar: “Bahkan mahu wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku.” Mendengar jawapan Abu Zar itu baginda pun bersabda: “Berpuasalah di hari yang panas terik demi menghadapi hari kebangkitan, sembahyanglah dua raka’at di tengah gelap-gelita malam demi menghadapi kesunyian dan kegelapan kubur, tunaikan haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar (yang menanti), hulurkan sedekahmu untuk si miskin, ungkapkanlah senantiasa kalimah yang benar, diam dan hindarkanlah diri dari bertutur dan melafazkan perkataan-perkataan yang tercela dan buruk.”

Justeru, kita perlulah menyediakan diri dengan sebarang bekalan yang boleh mendapatkan pertolongan dari Allah SWT di sepanjang jalan dakwah ini. Dekatkan diri denganNya, luangkan masa bersamaNya, mohon pertolongan dariNya. Moga-moga Allah mudahkan jalan menuju redhaNya.

Jadi sekarang antum dah faham mengapa perlu ada taklifat? Sebenarnya taklifat bukan hanya di program tapi kita perlu amalkannya sepanjang hidup. Jom beramal!

0 comments: